KUALA LUMPUR: Penerbit eksekutif dan penulis skrip drama Bidaah, Erma Fatima, memaklumkan tiga buah filem Indonesia akan dihasilkan dengan mengambil inspirasi daripada dramanya itu.
Erma atau Fatimah binti Rahmad Ali, 57, bangga apabila naskhah pengkarya Malaysia bukan sahaja berjaya menembusi pasaran Indonesia malah membuka lebih banyak peluang untuk bakat anak tempatan dipandang selepas ini.
“Akan ada lebih kurang tiga penerbit di Indonesia yang akan membuat filem inspirasi Bidaah. Jadi salah satunya, akan membuat filem bertajuk Khurafat Walid, dan pihak produksi mahukan skripnya dibuat oleh saya.
“Lagi satu tajuknya adalah Nikah Batin dan satu lagi kami sedang mencari tajuk. Jalan cerita berbeza tapi masih berkisarkan ajaran sesat,” katanya kepada media, baru-baru ini.
Jelas Erma lagi, dia bersyukur apabila dilamar untuk menulis skrip bagi dua filem daripada senarai tersebut.
“Nikah Batin bukan ditulis oleh saya. Nikah Batin adalah berdasarkan kejadian di Lombok, Indonesia yang mana selepas Bidaah keluar, ada satu ‘pesantren’ kena ‘serang’.
“Ada seorang jemaah perempuan menonton Bidaah, dan dia dapat kekuatan untuk membuat laporan polis jadi ‘pesantren’ itu disiasat. Saya rasa kisah itu sudah tular sebelum ini dan ada satu produksi menjadikan kejadian itu sebagai filem.
“Alhamdulillah saya berbangga sebab sudah bertahun kita tak dapat masuk Indonesia, dan sudah bertahun drama kita disekat dan filem kita tak berapa dikenali di sana. Jadi ini adalah permulaan yang baik untuk industri seni kita,” katanya.
Dalam pada itu, bagi Erma, apa yang paling penting bukan tentang populariti Bidaah, tapi bagaimana naskhah itu berjaya membuat masyarakat faham akan ajaran sesat yang berlaku.
“Saya dengar ada 10 ‘pesantren’ yang diserang selepas viral Bidaah di Indonesia. Alhamdulillah ini sangat bererti untuk saya, kerana apa yang saya mahu sampaikan, menjadi kenyataan dan ini adalah sedikit ‘contribution’ dari orang seni macam saya.
“Ini juga antara dakwah saya untuk menyedarkan orang ramai mengenai ajaran sesat.
“Niat saya adalah untuk menyampaikan mengenai ajaran sesat, supaya orang tidak terpesong akidahnya.
“Jadi apabila berlaku ini, ia adalah suatu yang sangat besar bagi saya. Saya terharu kerana apa yang sampaikan, diterima di sana,” katanya.
Mengulas lanjut, Erma berkata dua dari tiga produksi filem berkenaan akan membabitkan dirinya dari penulisan skrip sehinggalah kepada pemilihan pelakon.
“Kita memang ada memberi syarat di mana mereka kena ambil sekurang-kurangnya seorang pelakon Malaysia. Namun belum boleh saya kongsikan pelakonnya dan satu daripada filem itu akan dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat di Indonesia.
“Jujurnya Walid iaitu watak yang dibawakan Oleh Faizal Hussein cukup popular di sana, semu bertanya pasal dia dan sudah tentu saya sangat bangga bila mereka kenal Walid. Ia membuatkan saya rasa berbaloi kena maki dan dikecam,” katanya.
Sebelum ini, Erma memaklumkan beberapa penerbit filem dari Indonesia berebut untuk membeli hak tayangan siri Bidaah.
Terdahulu, Bidaah menduduki tempat pertama bagi 10 rancangan utama di platform Viu mengatasi drama lain termasuk dari Korea Selatan. -UTUSAN