KUALA LUMPUR: Hasil bedah siasat kedua ke atas jasad Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin menemukan kecederaan leher yang teruk menyebabkan kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor itu pada 28 Julai lalu.
Peguam keluarganya, Datuk Naran Singh Ara Singh berkata, hasil bedah siasat dijalankan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati bahawa Allahyarham mengalami kecederaan teruk pada bahagian leher serta melecet ketika masih hidup.
Penemuan itu dibuat pada jasad Allahyarham dalam proses bedah siasat pada 30 Ogos lalu.
“Keputusan pakar jelas menyatakan bahawa pemeriksaan bersama gambar dan bahan patologi daripada bedah siasat pertama menunjukkan si mati mengalami kecederaan leher yang teruk ketika dia masih hidup.
“Terdapat juga kecacatan berganda pada bahagian trakea dalam gambar bedah siasat pertama. Walaupun secara umum konsisten dengan prosedur trakeostomi, jumlahnya lebih banyak daripada biasa. Namun, kesan itu tidak menunjukkan berlaku selepas kematian,” katanya kepada pemberita di pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, pihak Kementerian Pertahanan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu melakukan siasatan lanjut dan mengambil tindakan segera.
“Saya minta Kementerian Pertahanan sediakan satu pasukan siasatan yang baharu untuk menyiasat siapa yang melakukan kecederaan ini dan mengambil tindakan segera,” katanya.
Beliau turut berharap kertas siasatan yang telah dua kali dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dapat disusuli dengan pendakwaan secepat mungkin memandangkan keluarga kini mempunyai bukti kukuh menerusi 25 muka surat laporan forensik terperinci itu.
“Saya memohon Jabatan Peguam Negara (AGC) mengambil tindakan serta merta. Sekiranya ada yang terlibat, heret mereka terus ke mahkamah. Tidak perlu inkues kerana kita dah tahu sebab kematian,” katanya.
Semalam, media melaporkan Mahkamah Tinggi Shah Alam dimaklumkan permohonan keluarga Allahyarham Syamsul Haris untuk mendapatkan laporan bedah siasat pertama hanya akan dipertimbangkan selepas dapatan mengenai bedah siasat kedua diperoleh.
Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, mewakili enam pihak selaku responden dalam prosiding di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet mengesahkan laporan bedah siasatan pertama sudah tersedia, namun pihaknya belum menerimanya selain tidak mendapat arahan untuk menyerahkan kepada pemohon.
Mahkamah menetapkan 5 Disember ini untuk sebutan permohonan bagi mendapatkan laporan bedah siasat berkenaan.
Sementara itu, ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, berdasarkan laporan kedua yang diterima hari ini mengesahkan firasatnya selama ini bahawa anaknya mengalami kecederaan mencurigakan.
“Terbuktillah apa yang saya nampak hari itu. Lebih banyak kecederaan pada leher sebelah kanan sehingga saya curiga dan saya memang dikawal seketat-ketatnya daripada ke bahagian itu ketika menziarahi jenazah.
“Saya mohon kepada kerajaan dan AGC, siasati kes anak saya dengan telus. Saya hanya mahukan keadilan. Tolong ambil tindakan sewajarnya dengan segera tanpa melindungi mana-mana pihak,” katanya. – UTUSAN










