Pemuda Pas bidas lawatan ke flat usang, dakwa helah politik

Pemuda Pas bidas lawatan ke flat usang, dakwa helah politik

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming membawa ahli Parlimen melawat flat usang di sekitar ibu negara didakwa sebagai helah politik bagi meluluskan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, lawatan tersebut tidak menjawab mengapa rakyat atau penduduk membantah rang undang-undang (RUU) tersebut.

Menurutnya lagi, lawatan ke flat usang itu juga tidak mampu menjawab nilai ambang peratusan persetujuan pemilik hartanah.

“Kami buat pendirian untuk tidak bersama dalam lawatan itu kerana pada pandangan kami, lawatan itu sekadar kosmetik. Nak cerita bangunan usang, yang buruk dan teruk, sebelum ini banyak saja bangunan yang usang dan kerajaan boleh saja baiki bangunan itu dan tidak ada masalah pun diperingkat negeri atau persekutuan.

“Perkara-perkara itu telah pun dan sedang diatasi tetapi yang kami nak pertikaikan ialah kenapa kita nak turunkan nilai ambang persetujuan itu daripada 100 peratus kepada 70 peratus.

“Adakah dengan membawa kami melawat flat-flat usang itu boleh menjawab kenapa nak turunkan nilai ambang persetujuan itu?” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pas di sini, hari ini.

Pada 29 April lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menganjurkan satu lawatan kajian khas di Kuala Lumpur pada bagi meningkatkan kesedaran Ahli Parlimen terhadap kepentingan RUU PSB.

Pemimpin DAP itu turut menyelar tindakan ahli Parlimen pembangkang yang tidak menghadiri lawatan kajian khas dan menggesa RUU PSB tidak dipolitikkan dan usaha kerajaan membanu rakyat tidak dihalang.

Dalam pada itu, Afnan Hamimi berkata, Pemuda Pas akan menganjurkan perhimpunan pada 14 Jun ini bagi membantah RUU PSB di Lembah Klang.

Beliau turut menyeru Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merupakan satu-satunya wakil Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyertai perhimpunan tersebut.

“Kami menyeru semua parti, termasuk NGO, pelajar, dan individu berkaitan bersama dan mengambil pendirian tegas menolak rang undang-undang tersebut.

“Ini demi memastikan keadilan di bandar serta melindungi masa depan komuniti asal di bandar-bandar utama negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya