BATU KAWAN : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang kini menggiatkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) seorang pemuda yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika menyauk kerang di Kilometer 4.2 Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini, pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohamad Shoki Hamzah berkata, sehingga kini, mangsa iaitu Ismail Ahmad, 28, masih belum dijumpai.
Terdahulu, beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.39 pagi tadi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Kejadian melibatkan sebuah bot melanggar tiang bernombor 274 di Jambatan Kedua Pulau Pinang dan ketika kejadian, terdapat seorang mangsa iaitu pengendali bot telah terjatuh ke laut.
“Turut berada di lokasi kejadian ialah bapa mangsa dan rakan yang menaiki bot lain. Kedua-dua mereka bagaimanapun selamat,” katanya yang memberitahu, kerja-kerja pencarian dilakukan di sekitar lokasi mangsa dipercayai terjatuh dengan dilakukan menggunakan kaedah secara ‘Water Surface Searching.
Tambah beliau, selain bomba, operasi pencarian turut dibantu oleh persatuan nelayan, Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).
Dalam pada itu, rakan mangsa, Mohd. Syawal Fikri Haris, 25, berkata, dia menaiki bot bersama bapa mangsa manakala mangsa keluar ke laut sendirian.
“Kami bertolak dari Jeti Pengkalan Cangkat, Bagan Buaya, Jawi bersama-sama untuk menyauk kerang berhampiran dengan tiang Jambatan Kedua Pulau Pinang. Bagaimanapun, kira-kira pukul 10 pagi tadi, datang seorang lelaki memaklumkan yang dia ada ternampak sebuah bot berpusing sendiri tanpa sesiapa di dalamnya.
“Kami bergegas ke tempat kejadian, memang dia (Ismail) tiada di atas bot dan usaha mencarinya sedang dijalankan,” katanya.
Tambahnya, kemungkinan bot berkenaan terlanggar tiang Jambatan Kedua sebelum Ismail terjatuh ke laut memandangkan terdapat kesan pelanggaran pada bot.
“Ismail masih bujang dan bekerja sebagai nelayan dengan mencari kerang di laut,” katanya. – UTUSAN