PETALING JAYA: Seorang pemilik syarikat pembinaan terpaksa menanggung derita apabila bukan sahaja tidak menerima baki bayaran projek bernilai lebih RM280,000, malah terpaksa meminjam ‘ah long’ demi kelangsungan hidup bersama keluarga.
Mangsa, Andrew Kaya, 34, berkata, sehingga kini baki bayaran projek pembinaan struktur bangunan sebuah pangsapuri di Subang Jaya berjumlah RM281,967 gagal dilunaskan oleh pihak kontraktor sejak September lalu.
Menurut Andrew, berdasarkan perjanjian awal, pelaksanaan projek sepatutnya bermula pada September lalu hingga Jun tahun ini, namun ia dibatalkan secara tiba-tiba oleh pihak kontraktor tanpa sebarang perbincangan atau persetujuan bersama.
“Alasan mereka, kerja tidak memuaskan, kononnya melanggar syarat perjanjian. Tetapi itu tidak benar kerana pekerja saya menjalankan tugas dengan baik. Masalah sebenar ialah mereka tidak mahu bayar.
“Saya dah cuba hubungi berkali-kali, tapi langsung tak dilayan. Akhirnya saya terpaksa upah pemungut hutang, namun tetap tak berjaya,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini.
Tambahnya, kegagalan menerima pembayaran tersebut menyebabkan gaji 65 pekerjanya tertunggak sekitar RM162,500.
Keadaan itu juga menyebabkan dia terpaksa berhutang dengan ceti haram (ah long) lebih RM10,000 bagi menampung kos operasi dan keperluan hidup bersama isteri serta tiga anaknya.
“Demi jalankan projek, saya gadaikan barang kemas dan keluarkan simpanan hampir RM48,000 untuk modal beli bahan binaan dan peralatan. Bila tak cukup, saya pinjam ah long pula kerana yakin akan dapat semula duit.
“Tapi bila kena tipu begini, bukan sahaja modal hangus, malah sekarang saya pula diugut ah long sejak gagal buat bayaran sejak November lalu,” katanya.
Andrew turut meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan keluarganya yang kini hidup dalam ketakutan, selain mendakwa isterinya pernah terlintas untuk mengakhiri nyawa sendiri akibat tekanan melampau.
Sehubungan itu, beliau berharap laporan polis yang dibuat dapat membuka jalan kepada penyelesaian segera termasuk tindakan undang-undang terhadap pihak kontraktor terlibat.
“Saya mohon mereka untuk membayar baki itu segera. Itu sahaja jalan terakhir kami selepas pelbagai usaha dibuat tetapi tidak dilayan,” katanya. – UTUSAN