Saifuddin ada kelebihan tanding jawatan Timbalan Presiden?

Pemilihan PKR: Saifuddin ada kelebihan jika tanding jawatan Timbalan Presiden?

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Datuk Seri Saifuddin Nasution dilihat mempunyai kelebihan dan berpeluang cerah menang jika mengambil keputusan mencabar Datuk Seri Rafizi Ramli bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu.

Meskipun, Menteri Dalam Negeri itu belum menyatakan ketetapan, namun keputusan di 222 cabang PKR yang menyaksikan ramai daripada kem Rafizi tewas memberi petunjuk kepada Saifuddin perlu mencabar Menteri Ekonomi tersebut bagi perebutan jawatan nombor dua parti itu.

Antara pemimpin yang dikaitkan dengan Rafizi tewas dalam pemilihan parti itu baru-baru ini ialah seperti Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir dan Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran.

Malah, di Selangor, negeri di mana Rafizi bertapak sebagai pimpinan cabang, beberapa calon dikaitkan rapat dengan beliau seperti Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung juga gagal memperkukuh kedudukan Rafizi apabila tewas di kawasan masing-masing selain ramai lagi pemimpin di negeri-negeri lain tewas.

Pemerhati politik juga melihat bahawa Saifuddin sepatutnya bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR kerana peluang beliau dalam pemilihan kali ini lebih cerah berbanding ketika pertembungan sebelum ini.

Seorang pemerhati politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, Saifuddin mempunyai kualiti dan cukup serasi menjadi gandingan terbaik Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Saifuddin meskipun tewas ketika perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR selain kalah pilihan raya, bekas Setiausaha Agung PKR itu tidak pernah dilihat berada di dalam keadaan lemah sebaliknya terus kukuh di dalam parti dan kerajaan.

Ujar beliau, Saifuddin juga sentiasa menjadi individu penting di dalam PKR serta terus bersama parti di saat jatuh dan bangun sejak dari awal penubuhan PKR.

“Melihat kepada trend semasa di mana ramai dalam kalangan pemimpin dari kem Rafizi tewas dalam pemilihan cabang baru-baru ini, menjadi peluang terbaik dan kesempatan terbaik kepada Saifuddin untuk mencabar Rafizi dan menang jawatan nombor dua parti.

“Meskipun kalah kepada Rafizi dalam pemilihan sebelum ini, namun Saifuddin dilihat lebih menonjol termasuk di dalam parti. Ini peluang terbaik buat Saifuddin untuk bertanding,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Dalam pemilihan PKR 2022, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berjaya menewaskan Saifuddin bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dengan majoriti besar selepas menguasai keseluruhan undian di semua negeri kecuali Sabah dan Perlis.

Muhammad Izmer berkata, peluang Rafizi untuk menang jika Saifuddin mencabar beliau agak sukar kali ini memandang akar umbi dilihat lebih cenderung kepada Saifuddin.

“Dari segi prestasi sebagai Menteri Ekonomi juga tidak nampak Rafizi mengemukakan solusi atau idea yang ketara untuk memantapkan ekonomi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN