Pemilihan PKR: Keputusan diketahui seawal 9 malam

Pemilihan PKR: Keputusan diketahui seawal pukul 9 malam

FUZIAH Salleh (tengah) bersama Fahmi Fadzil dan Zaliha Mustafa pada sidang akhbar sempena Kongres Nasional PKR 2024/2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru, Johor.-UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keputusan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bagi penggal 2025-2028 dijangka akan diketahui seawal pukul 9 malam esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, keputusan itu dijangka akan diumumkan usai ucapan dasar oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami akan cuba umumkan keputusan sekitar selesai penggulungan, bergantung kepada situasi semasa. Jika selesai penggulungan oleh Perdana Menteri, kita akan umumkan secepat mungkin,” katanya selepas meninjau persiapan di lokasi kongres di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh; Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil dan Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Datuk Ahmad Kasim.

Sementara itu, Fuziah memaklumkan, seramai 251 calon telah menawarkan diri bertanding dalam pemilihan PKR peringkat Pusat bagi sesi 2025-2028. 

Katanya, jumlah itu merangkumi 104 pencalonan bagi MPP, 85 calon bagi Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.

“Seramai 22,809 perwakilan akan mengundi bagi memilih MPP termasuk 13,060 secara dalam talian dan 9,829 secara fizikal. 

“Daripada jumlah itu, 6,990 perwakilan akan hadir di Johor Bahru, manakala 1,120 dan 919 akan mengundi secara fizikal di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Pengundian fizikal bagi perwakilan yang hadir pada kongres itu akan berlangsung di Berjaya Waterfront Hotel dan Pusat Konvensyen Danga Bay, di sini.

Bagi Sabah dan Sarawak, pengundian fizikal akan berlangsung di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) di Penampang serta Pusat Konvensyen Penview di Kuching.

Pada malam ini berlangsung Kongres Nasional AMK dan Kongres Nasional Wanita di Hotel Berjaya Waterfront, di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN