KUALA LUMPUR: “Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.”
Demikian ucapan takziah yang dicoretkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil terhadap pemergian mantan wartawan Utusan Malaysia, Fauziah Aruf yang meninggal dunia pagi tadi.
Ucapan takziah itu dikongsi Fahmi menerusi laman Facebooknya baru-baru ini.
“Innalillahiwainnailaihirajiun. Takziah kepada keluarga Allahyarhamah Fauziah Aruf yang telah kembali ke rahmatullah, awal pagi tadi.
“Beliau merupakan penerima Tabung Kasih @ WAHANA pada 2023, sebuah inisiatif Kementerian Komunikasi melalui BERNAMA yang diwujudkan sebagai lambang keprihatinan dan penghargaan, menyantuni pengamal media yang berdepan dugaan sama ada ketika berkhidmat, setelah bersara, atau dalam keuzuran.
“Pemergian Allahyarhamah pastinya dirasai seluruh warga media yang pernah bekerjasama dengan beliau,” kongsinya.
Berita pemergian Allahyarhamah dikongsikan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan pagi tadi.
Presiden WHAM, Tengku Datuk Khalidah Tengku Bidin menyifatkan Allahyarhamah sebagai wartawan yang disegani dan dihormati.
“Allahyarhamah Fauziah merupakan sosok wartawan wanita yang disegani dan dihormati dalam dunia kewartawanan serta industri seni dan hiburan tanah air.
“Beliau bukan sahaja cemerlang dalam penulisan, malah antara wartawan wanita terawal yang berjaya menubuhkan syarikat penerbitan sendiri yang menerbitkan Majalah PESTA dan akhbar Pentas Dunia,” katanya.
Anak allahyarhamah, Nilly Wahidah Omar memaklumkan jenazah Fauziah kini berada di kediamannya di Selayang dan akan dibawa ke Masjid Selayang Baru pada pukul 10 pagi untuk dimandi, dikafan dan disolatkan.
“Kemudian Jenazah akan dikebumikan selepas solat Zohor, Insya-Allah,” kongsinya.
Allahyarhamah merupakan penerima Anugerah Tokoh Wartawan Berjasa sempena Anugerah Kewartawanan Industri Perfileman Malaysia (AKIFMA) 2017.
Selain itu arwah juga merupakan individu yang bertanggungjawab membawa penyanyi tempatan, antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Anis Suraya dan Slam ke pertandingan Voice of Asia di Khazakhstan. – UTUSAN