SEREMBAN: Pemandu van yang melanggar lampu isyarat merah di Senawang dan merempuh penunggang motosikal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Tertuduh, P. Mohan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Farha Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu van Toyota Hiace didakwa telah memandu secara berbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian Muhammad Annas Iskandar Mohd. Khairi, 21.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.59 malam di persimpangan lampu isyarat Taman Matahari Height, Jalan Persiaran Senawang 1 pada 3 Mei 2025.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
Tertuduh juga hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nadia Ezzati Mohd. Zainal mencadangkan jaminan RM15,000 selain memohon lesen memandu tertuduh digantung.
Peguam Rajinder Singh memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya berpendapatan RM3,000 hingga RM3,500 sebulan dengan isterinya menjual bunga serta mempunyai dua anak berusia 21 dan 22 tahun yang masih belajar.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin warganegara manakala lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 Julai ini bagi serahan dokumen, laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), forensik dan kimia.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang penunggang motosikal berusia 20 tahun maut selepas dirempuh sebuah van yang melanggar lampu isyarat merah.
Ia merupakan lokasi sama meragut nyawa tiga remaja iaitu penunggang dan pembonceng motosikal yang dirempuh kereta yang turut melanggar lampu isyarat merah dalam kejadian pada 6 Mac lalu. – UTUSAN