Pemandu terlibat nahas dua kenderaan meninggal dunia - Utusan Malaysia

Pemandu terlibat nahas dua kenderaan meninggal dunia

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa dalam kenderaan yang terlibat kemalangan di Kilometer 4, Jalan Gerik-Kupang, Gerik hari ini. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Polis mengesahkan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan grand Livina yang parah dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Alza di Kilometer 1.8, Gerik-Kupang di sini hari ini  meninggal dunia.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintenden Muhammad Firdaus Abdullah berkata, lelaki berusia 49 tahun itu meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hospital Gerik.

Katanya, seorang wanita berusia 56 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan MPV itu mengalami kecederaan patah tulang rusuk dan kini dirujuk ke Hospital Taiping.

“Dua lelaki masing-masing berusia 14 dan 21 tahun yang berada di dalam kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kemalangan yang dilaporkan pada pukul 11.45 pagi berlaku ketika empat sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Kupang menghala ke Gerik.

“Setibanya di lokasi nahas, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta Perodua Alza dipandu lelaki berusia 32 tahun,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta Perodua Alza cedera parah dan dirujuk ke Hospital Taiping untuk rawatan manakala dua kanak-kanak berusia tiga dan lima tahun yang cedera di bahagian kepala dan mata pula dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Siti Nursyahira Mohd. Saleh di talian 016-8287981,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN