TELUK INTAN: Pemandu lori muatan batu yang terlibat dalam nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam di sini semalam, direman selama empat hari.
Permohonan reman ke atas suspek berusia 45 tahun itu dikemukakan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin ketika lelaki berkenaan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini.
Majistret Naidatul Athirah Azman kemudian membenarkan suspek direman selama empat hari sehingga Sabtu depan.
Menurut Bakri, permohonan reman itu dikemukakan pihak polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, siasatan kes itu akan dijalankan daripada pelbagai aspek termasuk isu-isu teknikal, kecuaian manusia dan persekitaran yang boleh membantu melengkap siasatan.
“Kes ini amat serius dan saya sendiri hadir ke mahkamah hari ini bagi memohon reman terhadap suspek. Siasatan teliti dan menyeluruh akan dijalankan bagi membantu pendakwaan terhadap lelaki itu,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Majistret Teluk Intan di sini hari ini.
Terdahulu, suspek yang memakai baju T berwarna hitam dan seluar panjang biru gelap itu tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 8.50 pagi dengan diiringi anggota polis sebelum dibawa keluar sejam kemudian.
Dalam kejadian pada pukul 8.54 pagi semalam, sebuah kenderaan membawa 19 anggota FRU Unit 5 Sungai Senam, Ipoh dirempuh lori muatan batu yang didakwa mengalami kegagalan fungsi stereng.
Pelanggaran secara berdepan itu menyebabkan lapan anggota FRU meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi rakan mereka menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Hospital Teluk Intan.
Kemalangan tragis itu berlaku ketika trak dinaiki kesemua mangsa bersama enam kenderaan FRU dalam konvoi perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak. – UTUSAN