KULAI: Pemandu lori yang terbabas sehingga memasuki lorong bertentangan dan menyebarkan kematian dua beranak di Kilometer 34, Lebuhraya PLUS, di sini malam kelmarin, positif dadah.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee selepas pemeriksaan urin dijalankan terhadap lelaki berusia 39 tahun berkenaan.
“Pemandu lori telah menjalani ujian saringan air kencing dan didapati positif dadah. Suspek ditahan 24 jam dan akan dibawa ke mahkamah esok pagi untuk permohonan tahanan reman,” katanya kepada pemberita.
Seng Lee memberitahu, kemalangan berlaku apabila lori kontena dipandu suspek hilang kawalan dan memasuki lorong bertentangan.
“Lori tersebut melanggar Toyota Hilux di arah sama sebelum merempuh Toyota Estima dan sebuah Mazda di lorong bertentangan. Kedua-dua mangsa yang maut adalah penumpang Toyota Estima, wanita berusia 42 dan anak perempuannya, 15 tahun.
“Mereka mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan maut ditempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN