KUALA LUMPUR: Polis akan meneliti sebarang ucapan sensitif terutamanya yang menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum) dalam Perhimpunan ‘Justice for Zara’ yang diadakan di hadapan pusat beli belah Sogo di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya telah menempatkan pasukan perakam sepanjang perhimpunan berlangsung bagi meneliti ucapan yang disampaikan peserta, sekiranya melanggar undang-undang.
“Kita akan membuka kertas siasatan dan akan memanggil individu-individu tertentu sekiranya ada keperluan,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi himpunan.
Katanya, tanggungjawab penganjur dan juga peserta perhimpunan aman untuk berkelakuan baik dan sekiranya mereka melanggar undang-undang, tindakan akan diambil.
“Penegasan ini sama seperti kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur yang mana perkara ini termaktub dalam undang-undang perhimpunan aman itu sendiri.
“Tanggungjawab peserta dan penganjur untuk memastikan perhimpunan itu berjalan secara baik dan tidak melanggar apa-apa undang-undang yang berkuatkuasa sekarang,” katanya.
Sulizmie Affendy berkata, perhimpunan telah disertai 450 peserta sejak pukul 8.30 malam dan selesai 11 malam tadi.
Katanya, ia telah berlangsung dalam keadaan baik dan aman.
“Seramai 100 anggota dan pegawai telah ditempatkan di lokasi perhimpunan sejak pukul 7.30 malam sehingga selesai,” katanya. – UTUSAN










