SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) hanya mengumumkan 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berikutan pengagihan kerusi dengan Perikatan Nasional (PN) masih dalam rundingan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, baki kerusi yang belum diumumkan akan diputuskan selepas rundingan dimuktamadkan sebelum pengumuman rasmi dibuat malam esok.
“Kita ada perbincangan dengan pihak lain. Esok akan ditentukan dan diumumkan malam esok,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi PRN Negeri Sembilan di pekarangan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini malam ini.
Ditanya mengenai ‘poster boy’ BN bagi PRN Negeri Sembilan, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan hanya memaklumkan perkara itu akan diumumkan kemudian.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan BN hanya mengumumkan 25 calon kerana masih menunggu keputusan rundingan dengan PN.
“BN akan bertanding sebanyak 25 kerusi sahaja kerana kita ada hasrat untuk mengadakan persefahaman bagi mengharungi PRN Negeri Sembilan kali ini.
“Kita tunggulah pengumuman pihak sebelah esok,” katanya.
PN dijadual mengadakan Majlis Pengisytiharan Calon PRN Negeri Sembilan 2026 di Kompleks Pas Seremban malam esok.-UTUSAN.










