KUALA LUMPUR: Pelbagai lapisan umur hadir dalam perhimpunan ‘Justice for Zara’ yang diadakan di hadapan pusat beli belah Sogo di sini, malam tadi.
Seorang peserta yang mahu dikenali sebagai Kamariah berkata, naluri sebagai seorang ibu mendorongnya hadir bersolidariti.
Katanya, dirinya sebak tatkala mengetahui mengenai kisah pelajar berusia 13 tahun itu menerusi laporan media.
“Sebagai seorang ibu, saya faham perasaan ibunya yang pasti menanggung derita yang tidak terungkap.
“Bayangkan anak yang dilahirkan serta ditatang bagai minyak penuh, akhirnya kehilangan nyawa dalam sekelip mata,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Dalam pada itu, seorang individu yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul, 30, berkata, dirinya mahu menghadiri himpunan itu sebaik mendapat maklumat mengenai penganjuran menerusi media sosial.
“Sebelum ini saya saksikan himpunan sama diadakan di Sabah menerusi video siaran langsung di media sosial, jujur saya katakan, seandai saya mempunyai kemampuan, pasti saya akan turut serta sama.
“Bila saya lihat ada hebahan mengenai adanya himpunan ‘Justice for Zara’ yang akan diadakan di ibu kota, tanpa fikir panjang saya nekad untuk menghadirinya,” katanya.
Dalam pada itu, suasana hiba menyelubungi kawasan hadapan pusat beli-belah itu apabila lantunan lagu Justice For Zara Qairina disusuli laungan “Justice for Zara” oleh para peserta yang hadir.
Himpunan solidariti anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu turut dihadiri pempengaruh media sosial menyaksikan peserta berpakaian hitam sambil membawa plakad, sepanduk dan kain rentang. – UTUSAN








