Pemandu lori keluar kata kesat, dipukul empat individu - Utusan Malaysia

Pemandu lori keluar kata kesat, dipukul empat individu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Enggan memberikan kerjasama untuk tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan mengeluarkan kata-kata kesat, dipercayai menjadi punca kes seorang pemandu lori dipukul empat individu termasuk polis bantuan, semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, kejadian yang tular dalam laman sosial itu berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB), di sini.

Katanya, pemandu lori berusia 30 tahun tersebut membuat laporan polis di Balai Polis Chukai, kira-kira pukul 11.30 pagi ini.

“Siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, mangsa yang baru selesai menghantar barang di KSB, mengundurkan lorinya untuk keluar dari kawasan itu.

“Polis bantuan yang bertugas melarang mangsa untuk tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu, namun lelaki itu enggan memberikan kerjasama,” katanya hari ini.

Mohd. Razi berkata, pemandu lori itu juga dikatakan membuat provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan mencabar polis bantuan menumbuknya.

“Pemandu lori itu masih membuat pemeriksaan di Hospital Kemaman. Dia mengadu mengalami sakit di beberapa anggota badan termasuk mata kiri, mulut, lengan dan belakang kepala. Kita masih belum menerima laporan perubatan mangsa,” katanya.

Menurutnya, polis mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular  rakaman video berdurasi 0.32 saat  memaparkan pemandu lori itu dipukul beberapa individu sebaik sahaja dia turun dari lorinya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN