JOHOR BAHRU: Lebih 1,000 orang yang melanggan pakej urutan dengan sebuah pusat kesihatan dan kecantikan yang beroperasi di lima buah negeri berasa tertipu apabila kesemua premis perniagaan itu tidak lagi beroperasi sejak 1 Mei lalu.
Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Pemuda MCA, Heng Zhi Li berkata, kesemua 28 cawangan premis pusat kecanikan itu beroperasi di Johor, Selangor, Melaka, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Zhi Li berkata, anggaran kerugian keseluruhan yang dialami berjumlah RM500,000 dengan setiap pelanggan mengambil pakej bernilai antara RM2,400 hingga RM10,000.
“Apa yang menyedihkan pengusaha premis tersebut tidak memaklumkan akan menutup operasinya. Sejak bulan lalu, ketika pelanggan tetap menghubungi untuk membuat temu janji, pengusaha memberi alasan tiada slot kosong.
“Secara tiba-tiba, pelanggan dimaklumkan bahawa premis itu tidak lagi beroperasi sejak awal bulan dengan alasan aliran tunai tidak mencukupi dan tidak ada pekerja,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, setakat ini pihaknya dimaklumkan seramai 54 individu telah tampil untuk membuat laporan polis berhubung kes tersebut.
Katanya, setiap mangsa tertarik dengan pakej yang ditawarkan kerana harga yang berpatutan dan boleh digunakan di kesemua cawangan pusat kesihatan dan kecantikan itu.
Malah tambahnya, pelanggan juga boleh berkongsi pakej tersebut dengan orang lain dan pakej itu juga tidak mempunyai tarikh tamat tempoh.
“Ada pelanggan yang menandatangani pakej dengan bayaran bulanan antara RM288 hingga RM388 dan ada yang sudah membuat pembayaran penuh ketika menandatangani pakej namun tidak pernah menerima perkhidmatan di situ,” katanya.
Zhi Li dalam pada itu berharap supaya lebih ramai mangsa pusat kesihatan dan kecantikan itu untuk tampil membuat laporan polis supaya tindakan undang-undang dapat diambil. – UTUSAN