Pekerja kilang parah langgar SUV terbakar di tepi jalan

Pekerja kilang parah langgar SUV terbakar di tepi jalan

Seorang penunggang motosikal cedera parah apabila dipercayai melanggar sebuah kenderaan yang hangus terbakar dalam kejadian berasingan di Jalan Tawar-Kulim, pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seorang penunggang motosikal cedera parah apabila dipercayai melanggar sebuah kenderaan yang hangus terbakar dalam kejadian berasingan di Jalan Tawar-Kulim, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Mohamad Syafiq Roslan, 30, sedang menunggang motosikal jenis Honda Wave untuk ke tempat kerja di sebuah kilang di Prai, Pulau Pinang.

Isterinya, Fatin Malik, 27, berkata, kemungkinan suaminya tidak perasan kelibat kenderaan tersebut yang mengalami kebakaran pada malam sebelumnya.

“Suami keluar rumah dari Kampung Charuk Gorok, Kupang, sekitar pukul 6 pagi tadi dan malangnya apabila tiba di tempat kejadian motosikal yang ditunganginya telah melanggar kereta yang terbakar semalam.

“Mungkin suami tidak nampak kereta itu kerana kawasan itu masih gelap dan kereta yang terbakar itu masih berada di tepi jalan tanpa apa-apa tanda yang memberitahu ada halangan di hadapan,” katanya ketika ditemui di Hospital Baling, hari ini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu suaminya mengalami cedera parah di bahagian perut, patah paha kiri serta pendarahan di dalam kepalanya dan kini masih menerima rawatan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, kebakaran itu melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Peugeot yang musnah 95 peratus.

“Kami menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 8.55 malam dan mendapati pemandunya berusia 37 tahun tidak mengalami kecederaan kerana sempat menyelamatkan diri.

“Ketika pasukan bomba tiba, kenderaan itu masih terbakar dan api sedang marak dan berdasarkan maklumat daripada mangsa, dia memandu kenderaan itu seorang diri menuju ke Butterworth, Pulau Pinang.

“Ketika dalam perjalanan, dia terhidu bau hangit sebelum terdengar letupan kecil di bahagian hadapan keretanya sebelum dia segera keluar dari kenderaan itu untuk menyelamatkan diri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN