Sanusi mampu gugat kedudukan calon Naib Presiden

Sanusi mampu gugat kedudukan calon Naib Presiden

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mampu menggugat kedudukan calon Naib Presi­den lain, menjelang Muktamar Tahunan Pas, September ini.

Penganalisis politik dari Uni­versiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, kedudukan itu mampu digugat lebih-lebih lagi melibatkan penyandangnya, Datuk Mohd. Amar Abdullah yang kini merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

“Gandingan Datuk Idris Ahmad, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Muhammad Sanusi mampu menyediakan barisan kepemimpinan Pas yang lebih berdaya saing.

“Apatah lagi, Sanusi makin terserlah di peringkat nasional sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berbanding Mohd. Amar yang hanya berkubu di Kelantan semata mata berbanding tiga calon lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin secara terbuka bersetuju jika Muhammad Sanusi dipilih sebagai Naib Presiden Pas kerana mempunyai rekod cemerlang sebagai Menteri Besar Kedah di samping mempunyai pengaruh dalam parti.

Mohammad Tawfik berkata, imej yang ditonjolkan Muhammad Sanusi adalah jelas berbeza dengan pendekatan oleh segelintir pemimpin lain.

Katanya, dengan kekuatan yang dimiliki Sanusi, beliau mampu menarik sokongan anak muda Melayu di negeri-negeri Malay Belt seperti Perlis, Kedah, tanah besar Pulau Pinang, Kelantan serta Terengganu.

“Sikap bersahaja, santai dan mendekati semua lapisan masyarakat semakin mendekatkan pengundi Melayu dengan Pas menerusi sikap pemimpin sedemikian.

“Beliau tidak boleh terbawa-bawa dengan imej ‘Tuan Guru atau ustaz’ jika ingin terus kekal relevan dan popular tetapi perlu mengekalkan watak sedia ada untuk mencairkan persepsi ekstrim yang sering dikaitkan dengan Pas,” katanya.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, Muhammad Sanusi juga peka dengan pemikiran generasi muda dan ketokohan sebagai Menteri Besar yang membela nasib anak Kedah.

“Aspirasi moden dan jati diri Muslim menjadikan misi dan visi beliau untuk membawa pembangunan mudah disambut rakyat. Sebab itu, beliau popular dalam kalangan akar umbi selain mempunyai senyuman manis, lantang bersuara serta kandu­ngan TikTok ditonton ramai.

“Namun begitu, sikap ‘cakap lepas dan lantang’ adakalanya mudah menyinggung pihak lain dan Muhammad Sanusi dilihat sebagai tidak sesuai dengan imej pemimpin Pas yang warak dan tawaduk,” katanya.

Kartini berkata, Pas seharusnya dipuji kerana mempunyai ramai pemimpin berwibawa termasuk Idris, Mohd. Amar dan Ahmad Samsuri yang memegang jawatan Naib Presiden buat masa ini.

“Sebagai rakan segagan dalam politik, mereka dilihat ibarat aur dengan tebing, saling mendukung dan menyokong satu sama lain.

“Tidak seharusnya melihat keserakanan mereka ini dalam lensa menggugat, bersaing dan berkonflik tetapi sebagai me­nyantuni kepemimpinan ma­sing-masing,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN