PETALING JAYA: Peguam kepada isteri ahli perniagaan, Datin Seri Pamela Ling menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertanggungjawab serta memberi penjelasan berhubung kes kehilangan wanita itu sejak 9 April lalu.
Peguamnya, Sangeet Kaur Deo mendakwa keberadaan anak guamnya di negara ini adalah atas arahan SPRM namun agensi tersebut memilih untuk berdiam diri berkaitan kehilangan Pamela.
Dakwanya, sikap tidak peduli SPRM yang dengan mudah menyatakan pihaknya menyerahkan siasatan kepada polis, bukan saja tidak boleh diterima.
“Biar fakta menentukannya. Kini sudah hari ke-36 sejak Pamela diculik ketika dalam perjalanan ke SPRM. Selama berbulan-bulan beliau disoal siasat secara berterusan.
“Beliau dihalang daripada kembali kepada anak-anaknya di Singapura. Kehadiran Pamela di Malaysia bukan atas kehendaknya sendiri, tetapi atas arahan SPRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dakwanya lagi, SPRM memilih untuk berdiam diri terhadap kehilangan Pamela daripada mengembalikan semula keyakinan awam terhadap agensi berkenaan.
“Tiada rasa tanggungjawab. Tiada jawapan. Adakah SPRM kebal daripada bertanggungjawab?.
“Kepada siapa sebenarnya SPRM perlu bertanggungjawab, Perdana Menteri, badan Eksekutif, rakyat? Pada masa ini, kelihatannya SPRM tidak menjawab kepada sesiapa, malah dalam menghadapi kemungkinan skandal nasional,” dakwanya.
Sebelum ini, polis mengesahkan suami Pamela ditahan di sekitar Kuala Lumpur dekat sini hari kini bagi membantu siasatan kes kehilangan Pamela.
Bagaimanapun, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa dilaporkan berkata, pihaknya telah memohon reman terhadap suspek di Mahkamah Putrajaya namun ditolak.
Media sebelum ini melaporkan, SPRM mengesahkan bahawa Pamela yang hilang pada 9 April lalu dan suaminya, Datuk Seri Hah Tiing Siu, sedang berhadapan siasatan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Siasatan berkenaan dimulakan Mei tahun lalu di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
SPRM memaklumkan, Tiing Siu dipanggil untuk memberikan keterangan berkaitan kes yang disiasat selepas kertas siasatan dibuka pada 28 Mei 2024 dan bagi melengkapkan siasatan Pamela juga turut dipanggil namun beliau gagal memberikan kerjasama. – UTUSAN