Pegawai Imigresen cedera dalam operasi buru PATI

Pegawai Imigresen cedera dalam operasi buru PATI

SEBAHAGIAN warga asing yang ditangkap dalam operasi Jabatan Imigresen ke atas beberapa premis perniagaan dan pusat urut sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) cedera dalam operasi serbuan terhadap beberapa buah premis perniagaan sekitar Bukit Bintang di sini malam semalam.

Difahamkan, dua pegawai tersebut mengalami kecederaan di bahagian tangan dan lutut selepas terjatuh akibat dirempuh pekerja warga asing yang melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa dalam operasi itu.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi JIM, Jafri Embok Taha berkata, keadaan tersebut bagaimanapun berjaya dikawal dan warga asing yang meloloskan diri berjaya ditahan semula.

Menurut beliau, operasi itu melibatkan seramai 55 pegawai JIM Kuala Lumpur dan menyasarkan dua lokasi utama iaitu Taman Sri Sentosa di Jalan Klang Lama serta kawasan Bukit Bintang.

“Memang lumrah dalam operasi seperti ini akan ada yang cuba melarikan diri, menyebabkan berlakunya kejar-mengejar dan menimbulkan risiko kecederaan kepada pegawai.

“Ada antara mereka bersembunyi di tandas, bilik atau ruang sulit premis, malah ada yang sanggup melompat keluar bagi mengelak ditahan,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi tersebut.

Tambahnya, seramai 64 warga asing berusia antara 18 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi berkenaan yang terdiri daripada 39 lelaki dan 25 wanita.

“Mereka dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) melibatkan warga Myanmar, Indonesia, Nepal, Bangladesh dan Pakistan. Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurutnya, sebanyak 15 Borang Imigresen 29 atau saman kepada saksi turut dikeluarkan kepada majikan tempatan sepanjang pemeriksaan dijalankan.

“Kesemua warga asing yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, seorang wanita warga asing yang bekerja sebagai tukang urut, Dewi, 42, memberitahu, dia panik dan bertindak melarikan diri dalam serbuan itu kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah.

“Saya telah bekerja selama enam tahun di negara ini dengan pendapatan sekitar RM100 sehari. Permit kerja di Malaysia mahal, itu sebab saya kerja macam ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya