Pasukan Malbatt di Lebanon selamat, terkawal

Pasukan Malbatt di Lebanon selamat, terkawal

PENGERUSI Jemaah Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) Darat, Puan Sri Hartiah Hamzah (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada seorang isteri anggota Malbatt yang bertugas di Lebanon sambil diperhatikan oleh Muhammad Hafizuddeain Jantan2 di Dewan Serigala 6 RRD, Kem Pulada, Ulu Tiram, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-12 yang sedang menjalankan misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon selamat dan terkawal walaupun berdepan risiko keselamatan.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, pelbagai langkah telah disediakan bagi memastikan anggota sentiasa berwaspada sepanjang masa.

“Apa yang kita khuatir adalah sekiranya terdapat tindakan luar kawalan oleh pihak bertelagah, kemungkinan berlaku tembak menembak memasuki kawasan tugasan pasukan kita.

“Tetapi Alhamdulillah, setakat ini tiada insiden sedemikian dilaporkan, tiada insiden berisiko tinggi namun kita tetap waspada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra PTD dan Pengerusi Jemaah Bakat Darat bersama Keluarga Malbatt 850-12 di Dewan Serigala Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD), Kem Ulu Tiram, di sini semalam.

Muhammad Hafizuddeain berkata, pasukan Malbatt 850-12 yang berangkat ke Lebanon pada November tahun lalu bakal pulang secara berfasa menjelang November ini, sebelum diganti dengan pasukan Malbatt 850-13.

“Pasukan Malbatt 850-13 terdiri daripada 850 anggota termasuk satu platun daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Pasukan ini akan ditubuhkan dalam masa terdekat, ketika ini ia masih dalam peringkat pemilihan komander dan pegawai staf.

“Unit yang dipilih untuk menyertai pasukan ini adalah Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Sungai Ara, Pulau Pinang. Mereka akan dikumpulkan pada Jun nanti bagi menjalani Latihan Integrasi Daya (Force Integration Training) di Port Dickson, Negeri Sembilan,” jelasnya.

Dalam majlis tersebut, keluarga anggota pasukan Malbatt 850-12 terdiri daripada pasangan dan anak-anak diraikan termasuk menerusi panggilan video secara langsung dengan anggota di Lebanon.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN