Pasangan kekasih antara tiga ditahan edar dadah RM4.6 juta - Utusan Malaysia

Pasangan kekasih antara tiga ditahan edar dadah RM4.6 juta

NOOR Hisam Nordin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiga termasuk pasangan kekasih ditahan bersama 27.4 kilogram (kg) dadah bernilai RM4.6 juta dalam serbuan berasingan di Sitiawan dan Lumut pada Isnin dan Selasa lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, serbuan pertama pada pukul 7.30 pagi di sebuah rumah di Simpang Tiga, Sitiawan pada Isnin membawa kepada tangkapan seorang lelaki berusia 28 tahun dan teman wanitanya berusia 24 tahun yang merupakan warga Vietnam.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut menjumpai serbuk disyaki dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 15,342 gram selain 237 gram dadah sama dalam motosikal yang berada di hadapan rumah.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.

“Susulan tangkapan tersebut, dengan dipandu arah oleh kedua-dua suspek, pasukan serbuan kemudiannya dibawa ke sebuah pangsapuri di Taman Sejati, Sitiawan pada hari sama sekitar pukul 8.55 malam.

“Dalam serbuan itu, kita menahan seorang lelaki berusia 50 tahun dan merampas serbuk disyaki dadah jenis ketamin seberat 114 gram dan 50 biji pil eramin 5 seberat 13 gram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Noor Hisam berkata, pasukan serbuan juga melakukan serbuan ketiga dengan dipandu arah oleh kesemua suspek pada pukul 7.19 pagi keesokkan harinya di sebuah rumah di Desa Manjung Raya, Lumut.

Katanya, lokasi tersebut dipercayai digunakan sebagai tempat pembungkusan dan stor penyimpanan dadah.

“Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan menjumpai dadah disyaki MDMA seberat 11,437 gram dan 289 gram ketamin serta peralatan dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.

“Ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis benzodiazepine atau erimin 5. Hasil semakan juga mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan siasatan, sindiket itu dipercayai aktif sejak Mac lalu dan dadah yang dirampas disyaki diedarkan untuk pasaran tempatan dan negeri Perak

Katanya, ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta dadah berbahaya 1952.

“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 apabila menyita wang tunai sebanyak RM970. Anggaran nilai keseluruhan dadah bersama harta yang disita adalah berjumlah RM4,596,242,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN