Our Land, Our Home nyanyian Aina Abdul semarakkan ASEAN Summit 2025 - Utusan Malaysia

Our Land, Our Home nyanyian Aina Abdul semarakkan ASEAN Summit 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Terus memperkasakan kedudukannya dalam industri muzik tanah air, penyanyi, Aina Abdul terpilih untuk menyanyikan lagu rasmi ASEAN Summit 2025 berjudul Our Land, Our Home.

Menurut Aina, dia mula dipelawa oleh komposer tersohor, Datuk Mokhzani Ismail untuk menyanyikan lagu yang membawa mesej perpaduan serantau itu sejak Februari lalu.

“Setelah bersetuju menerima lamaran Datuk Mokhzani, barulah kami hasilkan melodi mengikut kesesuaian suara dan jangkauan vokal saya.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan saya berpuas hati dapat menyumbang suara kepada sambutan persidangan bersejarah ini,” katanya.

Selain Aina dan Mokhzani, lagu yang bakal menyemarakkan sambutan sidang kemuncak ASEAN Ke-46, minggu hadapan itu juga menerima sentuhan daripada penulis lirik, Rafiza Rahman.

Dalam pada itu, Mokhzani berkata proses pembikinan lagu tersebut tidak mengambil masa yang lama meskipun beliau sibuk menyiapkan lagu tema sambutan Jubli Perak Raja Perlis.

“Lagu ini mempunyai konsep ‘sing-along‘ dengan sentuhan ala-Disney yang saya minati dan boleh dirasai dari permulaan lagu hingga bahagian akhir. Lagu ini juga mempunyai elemen tradisional dengan penggunaan gendang demi mengetengahkan identiti tempatan.

“Aina juga diberi kebebasan untuk menghayati lagi ini sepenuhnya kerana terdapat banyak ruang boleh diubahsuai olehnya,” jelasnya.

Membawa maksud yang mendalam, Rafiza Rahman selaku penulis lirik mendedahkan lirik lagu kali pertama dihasilkan atas kepercayaan diberikan kepadanya untuk berkarya untuk peringkat antarabangsa.

“Lagu Our Land, Our Home ini ditulis dengan semangat untuk menyatukan rakyat seluruh Asia sebagai satu komuniti besar berbilang budaya, bahasa dan latar belakang.

“Lagu ini juga menggambarkan kekuatan yang wujud apabila negara ASEAN saling bekerjasama, menghormati dan meraikan perbezaan,” kata Rafiza.

Kata Rafiza lagi, sebutan dan penghayatan Aina yang jelas dan menyentuh jiwa itu berjaya menjadikan lagu Our Land, Our Home sebagai puisi muzikal yang mencerminkan semangat dan jati diri Asia.

Difahamakan, lagu tersebut dirakam bersama Orkestra RTM dan kini menjadi antara elemen penting dalam menyemarakkan suasana sambutan ASEAN Summit 2025.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN