BUTTERWORTH : Sebanyak 52 kes berkaitan gas petroleum cecair (LPG) membabitkan nilai rampasan berjumlah RM850,730.51 direkodkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sepanjang pelaksanaan Ops Gasak bermula 1 Mei lalu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr. Fuziah Salleh berkata, sepanjang tempoh itu juga iaitu sehingga semalam, sebanyak 1,421 premis berkaitan di seluruh negara telah diperiksa dalam usaha mengekang kegiatan haram seperti pemindahan LPG subsidi ke tangki industri serta penyeludupan ke luar negara.
“Daripada 52 kes itu, sebanyak 11 kes dikesan di Pulau Pinang iaitu membabitkan penyelewengan berkaitan penyimpanan dan penggunaan LPG tanpa permit. Selain itu, ada pemborong yang juga didapati membekalkan LPG bersubsidi kepada operator yang kebanyakannya terdiri daripada pengusaha dobi dan hotel.
“Tiada maaf untuk mereka terutamanya bagi pengusaha yang menyalahgunakan LPG domestik untuk kegunaan industri,” katanya pada sidang akhbar Op Gasak di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau bersama sepasukan anggota penguatkuasa KPDN negeri menjalankan pemeriksaan di tiga premis perniagaan di sekitar Seberang Perai yang menjalankan perkhidmatan cucian untuk hospital dan hotel.
Fuziah berkata, pemeriksaan mendapati, premis terbabit menggunakan LPG domestik tanpa permit untuk mencuci pakaian dan cadar hospital.
“Selain salah di sisi undang-undang, isu ini sebenarnya turut melibatkan keselamatan kerana kalau ada permit, pihak penguatkuasa boleh tahu berapa banyak tong-tong LPG yang disimpan dalam sesebuah premis.
“Jadi, penyimpanan tanpa permit bukan sahaja menyukarkan pemantauan berbahaya kerana ia bahan mudah terbakar dan berisiko terhadap keselamatan awam,” katanya.
Dalam laporan media sebelum ini, pengusaha dobi dikatakan telah meminta kerajaan untuk memberikan pengecualian bersyarat terhadap penggunaan LPG bersubsidi itu bagi membantu mereka mendepani kenaikan kos operasi.
Malah, mereka juga meminta satu kajian dijalankan bagi menilai kesan penarikan penggunaan LPG bersubsidi terhadap industri dobi melalui penguatkuasaan Op Gasak. – UTUSAN