CYBERJAYA: Penguatkuasaan Op Gasak yang dilaksanakan bermula 1 Mei lalu bukan bertujuan menarik subsidi gas petroleum cecair (LPG), sebaliknya ketegasan membateras penyelewengan barangan bersubsidi itu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan operasi itu juga bukan satu peraturan baharu dan ia merupakan undang-undang sedia ada yang dikuatkuasakan melalui ketangkasan penguatkuasaan kementerian.
“Kita perlu pastikan kita dapat mengekang ketirisan supaya subsidi LPG ini betul-betul sampai kepada golongan sasar.
“Ini bukan peraturan baharu. Ini merupakan peraturan sedia ada, undang-undang yang kita kuat kuasakan melalui ketangkasan penguatkuasaan KPDN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Akses Pasaran Runcit Dan Majlis Penghargaan Usahawan di sini hari ini.
Ops Gasak 2025 adalah sebahagian daripada kerangka inisiatif pelaksanaan Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Kita Gempur) bagi memastikan gas memasak bersubsidi tidak disalah guna oleh pihak industri yang tidak layak.
Ketika ditanya berhubung cadangan pengusaha dobi yang meminta supaya kerajaan menangguhkan tindakan penguatkuasaan Op Gasak terhadap mereka, Armizan meminta supaya pengusaha dobi untuk melihat semula model perniagaan yang digunakan dan membuat peralihan.
Jelasnya, ini kerana peraturan tersebut telah lama wujud dan menjadi tanggungjawab kementerian untuk menguatkuasakan undang-undang melalui dasar yang telah digubal.
Katanya lagi, industri dan perniagaan yang menggunakan LPG secara komersial, seperti dobi, sepatutnya menggunakan LPG industri dan bukan LPG bersubsidi.
“Justeru, adakah kita mahu ‘double standard’? Adakah kita mahu mereka yang menggunakan LPG yang tidak disubsidi itu perlu merubah pendekatan untuk berebut dengan pengguna domestik membeli LPG yang disubsidikan?
“Saya fikir kita perlu melihat perkara ini dalam konteks yang lebih besar, biarlah hasil kerajaan melalui cukai yang dibayar oleh rakyat digunakan untuk perkara-perkara yang merupakan keperluan semua pihak,” ujarnya.
Media pada 7 Mei lalu melaporkan, pengusaha dobi mencadangkan kerajaan supaya menangguhkan tindakan penguatkuasaan Op Gasak terhadap mereka berkaitan penggunaan gas LPG bersubsidi.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Dobi Melayu (Mula) Zarina Ismail dilaporkan berkata, penangguhan pelaksanaan operasi itu perlu dilakukan sehingga sesi libat urus bersama pemain industri, khususnya persatuan dobi diadakan dan persetujuan dicapai. – UTUSAN