PETALING JAYA: Sebanyak 6,719 serbuan telah dijalankan melalui Op Dadu Khas di seluruh negara bagi menunjukkan komitmen dan ketegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap sebarang bentuk aktiviti jenayah termasuk perjudian haram.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sepanjang operasi itu seramai 8,603 individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan ditahan dan 3,464 peranti elektronik serta wang tunai lebih RM1.6 juta dirampas.
Katanya, selain Op Dadu Khas, beberapa kejayaan lain turut dicapai dalam operasi berskala besar antaranya Op Pintas Mega dan Op Cyber Guardian.
“Hasil daripada kesemua serbuan tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) turut merampas 3,464 peranti elektronik termasuk komputer, tablet, dan telefon bimbit, selain wang tunai lebih RM1.6 juta.
“Operasi ini menunjukkan komitmen dan ketegasan PDRM yang tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk aktiviti jenayah termasuk perjudian haram yang menyalahi undang-undang dan mampu menggugat ketenteraman awam,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan JSJ Bukit Aman di sini, hari ini.
Tambah Razarudin, Op Pintas Mega dikendalikan secara bersepadu bersama kontinjen seluruh negara dengan kerjasama Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Februari lalu.
“Sebanyak 45 serbuan dijalankan melibatkan 249 individu ditahan, selain berjaya menyelamatkan 144 mangsa yang terperangkap dalam jaringan eksploitasi manusia di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
“Ini jelas membuktikan kesungguhan dan keupayaan PDRM dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran secara tuntas dan profesional,” katanya.
Razarudin berkata, JSJ turut melakar kejayaan dalam pelaksanaan Op Cyber Guardian anjuran pihak berkuasa Singapura dengan penglibatan enam negara iaitu Jepun, Hong Kong, Korea Selatan, Singapura, Thailand dan Malaysia.
“Operasi yang dijalankan pada 28 Februari hingga 28 Mac lalu memberi tumpuan kepada pembanterasan jenayah penganiayaan seksual kanak-kanak secara dalam talian.
“Hasil operasi ini, empat individu terdiri daripada akauntan, pereka web, pekerja dalam industri telekomunikasi dan seorang penjawat awam berjaya ditangkap dengan rampasan lebih 50,000 bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM).
“Tangkapan dan rampasan ini membuktikan keseriusan ancaman jenayah siber seksual terhadap golongan rentan,” katanya. – UTUSAN