SEREMBAN: Ibu kandung dan bapa tiri seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang ditemukan terbiar di luar sebuah kedai serbaneka di Star Valley di sini, ditahan hari ini bagi membantu siasatan kes penderaan.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, kedua-dua suspek berusia 30 dan 22 tahun itu ditahan pada pukul 1.58 petang selepas siasatan dijalankan.
Katanya, penahanan ibu kandung dan bapa tiri mangsa adalah bagi membantu siasatan lanjut.
“Kejadian terbongkar semalam sekitar kira-kira pukul 5.30 petang apabila orang awam menemui kanak-kanak lelaki tersebut dalam keadaan ketakutan dan menggigil, sebelum bertindak membawa mangsa ke tempat selamat serta menghubungi pihak polis.
“Pemeriksaan awal juga mendapati terdapat unsur kecederaan disyaki akibat penderaan pada beberapa bahagian tubuh mangsa. Mangsa sudah dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban bagi pemeriksaan kesihatan dan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Johari berkata, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan untuk mendera termasuk penyangkut baju, wayar pengecas telefon bimbit serta dua buah telefon bimbit.
“Mangsa pernah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor pada 2020 selepas mengalami kecederaan yang disengajakan (NAI) melibatkan kesan melecur akibat terkena air panas di bahagian kepala, bahu kanan, dada dan belakang badan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda dan atau penjara jika disabit kesalahan. – UTUSAN









