Omega cegah penyakit kronik

Omega cegah penyakit kronik

SAKINAH HARITH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam keghairahan mengejar gaya hidup sihat, ramai yang terlupa satu komponen nutrisi penting iaitu asid lemak omega.

Peranannya terhadap kesihatan tubuh amat besar, terutama dalam mencegah pelbagai penyakit kronik seperti masalah jantung, gangguan mental dan keradangan.

Pakar dietetik Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof. Dr. Sakinah Harith berkata, tubuh manusia tidak dapat menghasilkan asid lemak omega-3 dan omega-6 secara semula jadi.

“Ramai menganggap lemak hanya memburukkan kesihatan, hakikatnya, ia merupakan bahan penting yang membolehkan kita hidup sejahtera. Lemak memberikan tenaga, melembapkan kulit, membolehkan organ dalam badan berfungsi dengan baik di samping menyedapkan dan memberikan tekstur menarik pada makanan.

“Dalam sehari, individu sihat disarankan mengambil antara 20 hingga 30 peratus lemak daripada jumlah keseluruhan makanan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kajian klinikal membuktikan omega-3 menurunkan risiko penyakit jantung, hipertensi, artritis reumatoid, osteoatritis serta nyanyuk.

Ia turut mempengaruhi pertumbuhan awal kanak-kanak terutama penglihatan dan fungsi kognitif otak.

Omega-6 pula membantu pertumbuhan sel normal, kesihatan kulit dan rambut serta fungsi imun.

Diet moden

Pengambilan omega yang berlebihan dan tidak seimbang menyebabkan peningkatan mediator keradangan serta risiko penyakit kronik.

Kajian menunjukkan diet tradisional mempunyai nisbah omega-6 kepada omega-3 sekitar 1:1 hingga 4:1.

Namun, diet moden, terutama di negara-negara maju dan membangun, mempunyai nisbah setinggi 15:1 hingga 20:1.

Ia berpunca daripada pengambilan minyak sayuran dan makanan diproses secara berlebihan.

Impak daripada ketidakseimbangan ini meningkatkan risiko aterosklerosis (pengerasan arteri), gangguan metabolik (obesiti dan diabetes) di samping penyakit keradangan kronik (artritis dan penyakit radang usus).

“Dalam dunia pemakanan moden yang dipenuhi makanan proses dan ketidakseimbangan lemak, pendekatan proaktif untuk meningkatkan pengambilan omega-3 dan mengawal omega-6 adalah penting.

“Sehubungan itu, masyarakat Malaysia digesa untuk meningkatkan kesedaran tentang sumber pemakanan sihat dan membuat pilihan makanan lebih bijak.

“Selain itu, pertimbangkan suplemen berkualiti jika perlu, sebagai sebahagian daripada strategi menyeluruh untuk memperbaiki taraf kesihatan,” katanya.

Sumber omega-3 boleh diperoleh daripada ikan berlemak laut dalam seperti salmon, mackerel, tuna, herring dan sardin.

Selain itu, ia ada dalam minyak ikan, minyak krill, biji chia, biji rami, walnut di samping suplemen minyak ikan berkualiti tinggi.

“Ambil ikan berlemak sekurang-kurangnya dua kali seminggu dan gunakan minyak tinggi omega-3 seperti minyak biji rami.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN