PETALING JAYA: Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar tampil menepis dakwaan sebahagian pihak bahawa percalonannya dalam pemilihan parti kali ini atas dasar nepotisme.
Tampil memperjelaskan persepsi bahawa PKR merupakan parti ‘anak beranak’, Nurul Izzah berkata, label itu bukanlah serangan baharu malah sejak 1998 sudah dihadapinya iaitu ketika bersama pengasas dan pejuang reformasi menubuhkan parti.
Malah, kata anak sulung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, sekiranya beliau memilih untuk mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR juga akan digelar seperti itu.
“Walau apa jua gelaran dan persepsi yang dilemparkan selama puluhan tahun, saya tetap akan terus berkhidmat, Insya-Allah.
“(Ini) kerana (saya) yakin bahawa proses bertanding secara terbuka lantas mendapat mandat daripada akar umbi bukanlah satu bentuk nepotisme. Sebaliknya, itulah asas demokrasi yang perlu kita pertahankan dalam parti kita ini,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sah mengemukakan pencalonannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR bagi sesi pemilihan kali ini selepas mendapat sokongan daripada lebih 150 Cabang parti.
Turut mengemukakan percalonan adalah penyandang jawatan tersebut iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga merupakan Menteri Ekonomi.
Sementara Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang disebut-sebut akan merebut jawatan tersebut masih belum mengemukakan pencalonannya.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, beliau sebelum ini pernah melepaskan dan menolak jawatan yang ditawarkan kepadanya kerana prinsip serta ibunya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.
“Pada 2018, saya meletakkan jawatan daripada Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) pada dasarnya menentang kegagalan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu untuk memastikan perbelanjaan kerajaan dipantau dengan memastikan pembangkang memegang jawatan ketua PAC.
“Ketika Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), saya telah ditawarkan untuk dilantik sebagai Menteri. Apa keputusan saya? Saya menolak kerana ianya adalah lantikan Perdana Menteri di dalam kabinet yang turut dianggotai oleh Wan Azizah,” katanya.
Tambahnya, beliau tetap tidak berminat dengan jawatan Kabinet walaupun sesudah memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR.
“Saya yakin, mereka yang membaca kenyataan ini dengan penuh rasional dapat membezakan nepotisme iaitu dilantik oleh ahli keluarga untuk sesuatu posisi berbanding pertandingan yang diundi oleh akar umbi,” ujarnya. – UTUSAN