KANGAR: Tidak menjadi sebarang kesalahan Nurul Izzah Anwar yang merupakan anak kepada presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti tersebut.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin bagaimanapun berkata, ahli PKR dan rakyat boleh menilai sendiri hala tuju parti itu selepas ini sekiranya bapa dan anak mengetuai kepemimpinan parti.
Katanya, Pas tidak berminat dalam pemilihan parti lain sebaliknya rakyat sendiri boleh melihat berkaitan dakwaan nepotisme di dalam PKR.
“Sudah diketahui umum nama Nurul Izzah dicadangkan bertanding jawatan Timbalan Presiden. Bagi saya, dari sudut undang-undang atau Perlembagaan tidak menjadi sebarang kesalahan, sesiapa sahaja boleh bertanding dalam pemilihan parti.
“Tetapi masyarakat atau ahli-ahli PKR boleh menilai sendiri hala tuju dibawa PKR selepas ini yang seolah-olah tidak ada orang lain layak jadi Timbalan Presiden ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sejak kelmarin, gelombang dari pelbagai peringkat cabang, negeri dan sayap parti menyokong Nurul Izzah bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR terus memuncak.
Malah ramai pemimpin kanan menyokong pencalonan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu seperti Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK); Adam Adli Abd Halim, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ramai lagi.
Perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR dijangka sengit dengan setakat ini, Datuk Rafizi Ramli bakal mempertahan jawatan,
Tambah Hashim, sekiranya Nurul Izzah merasakan berkelayakan boleh teruskan bertanding jawatan berkenaan.
“Namun seperti saya sebut tadi terserah kepada penilaian ahli PKR dan rakyat,” katanya.-UTUSAN










