BUTTERWORTH : Seorang nelayan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap anak saudaranya dengan menggunakan rotan, minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Daim Salleh, 34, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kediaman di Pulau Mertajam, Penaga di sini, kira-kira pukul 2.30 petang pada 10 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sebanyak RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli manakala tertuduh diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Terdahulu, ketika sesi prosiding, Siti Marissa Safina memohon agar hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh kerana memukul kanak-kanak kecil.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh dalam mitigasinya pula meminta mahkamah untuk memberikan hukuman berbentuk denda minimum atas alasan tertuduh masih bujang dan bekerja sebagai nelayan selain perlu menyara ibunya.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 dan mengarahkan agar tertuduh dipenjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan. Difahamkan, tertuduh bagaimanapun membayar denda tersebut.
Nelayan terbabit sebelum itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes dera melibatkan seorang anak saudaranya yang berusia tiga tahun, Jumaat lalu.
Tangkapan ke atas suspek dibuat selepas bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan selepas mendapati abang iparnya memukul kanak-kanak tersebut menggunakan sebatang kayu kecil tanpa sebab munasabah.-UTUSAN