SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan perlu membuat persediaan rapi untuk menyokong pelaksanaan projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) 2.0, yang bakal menghubungkan Banting, Selangor hingga ke Gelang Patah, Johor.
Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Datuk Dr. Alias Rameli berkata, perancangan perlu mengambil kira aspek pengambilan tanah di beberapa daerah terutama Port Dickson selain memastikan pembangunan seimbang di kawasan sensitif alam sekitar untuk manfaat pelabur dan rakyat.
Menurut beliau, jalan sedia ada di Port Dickson perlu disepadukan dengan perancangan pelebaran jalan hingga ke Melaka melalui Linggi, dan negeri ini perlu menyelaras dengan projek-projek infrastruktur yang dirancang kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan Negeri Sembilan termasuklah Melaka perlu bersedia dengan perlaksanaan WCE 2.0 ini serta memasukkan elemen infrastruktur yang telah dirancang oleh Kerajaan Persekutuan bagi manfaat ekonomi di negeri masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran (Kick Off) Kajian Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 (Kajian Semula), di sini hari ini.
WCE 2.0 menghubungkan Banting, Selangor merentasi Negeri Sembilan dan Melaka hingga ke Gelang Patah, Johor membabitkan pembinaan lebuh raya sepanjang 311 kilometer dengan kos kira-kira RM63 bilion.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Negeri Sembilan mesti memanfaatkan kedudukannya yang bersebelahan Lembah Klang bagi meningkatkan kedudukan terutama berkaitan infrastruktur.
Sehubungan itu, pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0 di negeri ini akan di majukan sebagai kawasan perbandaran baharu meliputi kawasan perumahan, perindustrian, komersial dan infrastruktur.
“Pembangunan Lembah Klang ini harus dimanafaatkan oleh Negeri Sembilan terutama kawasan tumpuan pembangunan MVV yang melibatkan Daerah Seremban dan Port Dickson.
“Ini juga selari dengan draf Rancangan Fizikal Negara (RFN) Ke-5 yang sedang digubal di mana kedudukan Negeri Sembilan telah diposisikan sebagai sebahagian Wilayah Tengah yang turut melibatkan Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka,” katanya. – UTUSAN