“Kalau anda hendak cari rezeki berlakon di luar negara, itu awak. Bukan saya.”
Itu kenyataan yang dilontarkan oleh aktor, Sharnaaz Ahmad ketika dia tegas meluahkan pandangannya mengenai keputusan segelintir pelakon tanah air yang memilih untuk berhijrah atau mengintai peluang kerja seni di luar negara.
Bukan mahu menghentam sesiapa, tetapi kata Sharnaaz, satu hakikat yang harus difikirkan oleh semua pihak adalah bagaimana berat sebelahnya negara luar melayan karya seni filem kita, sesuatu yang tidak sama sebagaimana kita melayan dan meraikan filem-filem mereka di sini.
Bahkan, dari satu sudut, kata Sharnaaz, kesalahan itu mungkin harus diletakkan kepada sikap orang kita sendiri yang terlalu mengagungkan produk orang luar sedangkan industri filem tempatan juga punyai masa depan yang cerah untuk lebih maju.
“Kita yang terlalu agungkan filem luar. Orang Malaysia sendiri, produksi kita sendiri. Saya nak tanya siapa mereka? Malah Indonesia sekali pun, minta maaf cakap, siapa mereka?
“Adakah anda fikir mereka kisah dengan pengkarya dan filem-filem kita? Tidak ya. Cuba bawa filem kita pergi jual di negara mereka, mereka buka panggung kecil sahaja untuk kita.
“Bagaimana mereka boleh tidak menghormati kita begitu? Tergamak. Jadi mengapa kita pula kena hormati karya-karya mereka? Kalau ditanya, saya memang tak hormati mereka sebab mereka pun tak buat macam itu kepada kita,”tegasnya.
Kata Sharnaaz, disebabkan itu, dia tidak faham mengapa segelintir anak seni tempatan beriya-iya mahu menerjah masuk ke industri filem atau drama luar negara sedangkan seharusnya bakti seni dicurahkan di tanah air sendiri terlebih dahulu.
“Ada antara pelakon kita yang gigih nak berlakon di negara seberang contohnya, mengapa? Kau tinggalkan filem Malaysia, tinggalkan kita punya industri semata-mata kononnya nak cari rezeki di luar.
“Saya tak akan buat begitu. Itu janji saya. Sebenarnya, orang macam Syafiq Yusof, Syukri Yahya misalnya, kami ini sangat sayangkan industri filem tempatan. Awak ingat Syafiq tak pernah dapat tawaran luar negara? Ada cuma dia tolak dengan baik sebab mahu majukan perfileman tanah air.
“Itulah yang orang macam kami, anak seni tempatan cuba buat. Sebab kami percaya industri kita mampu pergi jauh. Tetapi kita yang selalu agungkan produk luar. Pelakon antarabangsa boleh berlakon dengan kita tak ada masalah.
“Cuba bayangkan, filem Sheriff kita bawa masuk ke Indonesia dan mereka cuma buka satu panggung, tetapi filem mereka di bawa ke sini, semua panggung kita buka.
“Adilkah? Hebat sangatkah filem mereka? Atau buruk sangatkah industri seni kita?”dakwanya.
Sebagai seorang pelakon yang telah berkecimpung dalam industri seni sejak 16 tahun lalu, Sharnaaz mengakui terlalu mencintai industri seni tempatan dan mengharapkan rakyat Malaysia juga tidak memandang sepi produk anak tempatan.
Bagaimanapun, dia sedar, ada ketika masyarakat kita juga berasa tertipu dengan hasil kerja segelintir pengkarya tempatan yang tidak sampai pada tahao kualiti yang diharapkan.
“Saya pasti, orang kita pun sayangkan industri seni tempatan. Cuma mereka rasa tertitpu dengan segelintir produk filem yang hambar. Dari segi trailler, bila mereka datang tonton di pawagam, cerita kualiti rendah, seakan bajet rendah,”katanya.
Teguran
Pada masa yang sama, aktor berusia 40 tahun ini juga menegur pengkarya seni tanah air supaya tidak bersikap ‘syok’ sendiri terhadap hasil kerja yang ditayangkan.
Baginya, sesuatu kejayaan atau keuntungan luar biasa yang diraih oleh sesebuah filem itu bukan datangnya daripada hasil kerja seorang individu sahaja.
Tetapi, ia merupakan hasil kerja semua pihak yang memainkan peranan masing-masing.
“Nasihat saya, jangan syok sendiri. Formula kejayaan terletak kepada pelakon, pengarah, penerbit, kru, pendek kata setiap orang yang terlibat dalam sesebuah filem itu. Berjayanya anda hari ini adalah kerana tenaga satu pasukan bukan seorang individu sahaja.
“Benda ini dipraktikkan oleh industri luar negara. Kalau kita cakap pasal dunia Hollywood, Bollywood sekali pun, mereka buat kerja sehabis baik, bermati-matian.
“Contohnya di India, memang ada. Berapa ramai yang sanggup bermati-matian untuk menjayakan sebuah filem. Penonton datang ke pawagam, duduk makan bertih jagung dan kritik filem okey atau tidak.
“Sedangkan orang belakang tabir, mencurahkan segala keringat mereka untuk pastikan filem itu berjaya. Macam apa yang terjadi pada filem Blood Brothers, anda lihat kami berjaya hari ini kerana ia hasil kerja satu pasukan,”ujarnya.
Tambah Sharnaaz, seharusnya tidak wujud perasaan mendabik dada oleh mana-mana individu jika kejayaan itu diraih berteraskan kudrat sepasukan.
“Sesiapa sahaja, jangan syok sendiri. Kita berjaya hari ini sebab orang lain yang beri sokongan,” ujarnya.-UTUSAN