TELUK INTAN: Tiada pihak tampil mengesahkan dakwaan bahawa lori muatan batu yang merempuh kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), cuba mengelak sebuah kereta keluar simpang.
Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, setakat ini tiada laporan diterima berhubung dakwaan berkenaan.
“Siasatan kes ini telah selesai dan pertuduhan juga telah dibuat ke atas pemandu lori tersebut semalam.
“Setakat ini, saksi yang mengatakan ada melihat (lori mengelak kenderaan melintas) belum tampil (beri maklumat) kepada pihak polis. Sekiranya ada, kita akan menjalankan siasatan lanjut bagi tujuan perbicaraan,” katanya dalam sidang akhbar di Hospital Teluk Intan di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan seorang pekerja gerai makan yang mengatakan lori muatan batu dipandu lelaki berusia 45 tahun cuba mengelak sebuah van yang mahu keluar simpang sebelum kenderaan berat itu merempuh trak FRU di laluan bertentangan.
Menurut wanita itu, kejadian tersebut dilihat dari gerai makan tempatnya bekerja yang terletak bertentangan dengan simpang menghala ke Chikus.
Dalam pada itu Zulkafli berkata, seramai 16 individu termasuk pemilik syarikat lori telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik pada Selasa lalu, kenderaan membawa 18 anggota FRU Unit 5 Sungai Senam, Ipoh dirempuh lori muatan batu yang didakwa mengalami kegagalan fungsi stereng.
Kemalangan itu mengakibatkan lapan anggota FRU maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Teluk Intan.
Kemalangan berlaku ketika trak dinaiki kesemua mangsa bersama enam kenderaan FRU dalam konvoi perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak. – UTUSAN