KUALA LUMPUR: Hanya perlu lafaz baiah secara dalam talian sebelum dilantik sebagai ketua sel bagi memperluas pengaruh kumpulan militan dalam kawasan tertentu membabitkan komuniti warga Bangladesh.
Itu elemen penyebaran ideologi kumpulan pengganas Islamic State (IS) di Malaysia yang dibawa masuk oleh kumpulan Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, tujuan mereka merekrut ahli-ahli dalam kalangan warga Bangladesh dipercayai bagi mengumpul dana untuk disalurkan bagi kegiatan ekstremis IS di Syria dan Bangladesh.
Menurutnya, mereka hanya menggunakan media sosial seperti Telegram dan WhatsApp untuk menyebarkan fahaman ekstrem dan merekrut ahli baru.
“Aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Telegram digunakan untuk menyebarkan propaganda, melaksanakan proses baiah (sumpah setia) dan menyusun aktiviti rahsia termasuk pengajian agama serta perjumpaan ahli.
“Siasatan lanjut mendedahkan kira-kira 100 ke 150 warga Bangladesh berada dalam kumpulan sembang WhatsApp terbabit.
“Bagi pengumpulan dana, ia dikesan melalui aplikasi seperti Touch n Go, bKash dan perkhidmatan penghantaran wang antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Mohd. Khalid berkata, ahli yang melafazkan baiah dalam talian kemudian akan dilantik sebagai ketua sel untuk memperluas pengaruh kumpulan.
Jelasnya, proses pengambilan ahli dilakukan secara berfasa bermula dari saringan keahlian hingga membentuk kelompok elit.
“Bayaran ahli dan dana bergantung kepada kemampuan mereka dan boleh mencecah RM500 setahun.
“Tindakan operasi ini bermula sekitar April lalu, namun kegiatan kumpulan dipercayai sudah berjalan hampir setahun sebelum itu,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seramai 36 lelaki warga Bangladesh yang disyaki terbabit dalam gerakan militan berasaskan fahaman ekstremis Islamic State (IS) ditahan menerusi operasi besar-besaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak April lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, operasi keselamatan terancang yang bermula pada 24 April lalu dilaksanakan dalam tiga fasa tangkapan di sekitar Selangor dan Johor. – UTUSAN









