PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) diberikan tempoh sebulan untuk mengemukakan laporan lengkap berhubung siasatan nahas jalan raya yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak, semalam.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, hasil laporan daripada pasukan petugas khas itu perlu dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, Menteri Pengangkutan telah memaklumkan bahawa satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk meneliti aspek-aspek yang bukan bersifat jenayah, iaitu dari segi kenderaan.
“Manakala, siasatan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) diteruskan, jadi akan ada dua siasatan.
“(Justeru) Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa laporan dari MOT perlu disiapkan dalam tempoh satu bulan dan dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri, sebelum sebarang keputusan dibuat (mengenai nahas tersebut),” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Terdahulu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan memaklumkan bahawa Jemaah Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada kesemua keluarga mangsa nahas jalan raya melibatkan anggota FRU terbabit. – UTUSAN