IPOH: Masyarakat dinasihatkan berhenti menyalahkan mana-mana pihak dalam nahas tragis yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik, Teluk Intan minggu lalu.
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, tiada pihak yang mahu kejadian itu berlaku dan nahas itu adalah ketentuan Ilahi yang perlu diterima dengan hati terbuka.
“Kita mohon kepada semua rakyat Malaysia untuk memberi sumbangan dan tunjukkan rasa kebersamaan kepada segolongan rakyat yang banyak berjasa kepada negara.
“Hentikan salah menyalah antara satu sama lain. Tiada pihak yang mahu perkara ini terjadi dan ia berada dalam ketentuan yang ditetapkan oleh Allah SWT,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi keluarga anggota FRU yang maut dan mereka yang terselamat di kuarters Unit 5 FRU Sungai Senam, di sini hari ini.
Turut hadir dalam kunjungan itu, Pengurus Yayasan Ikhlas cawangan Ipoh, Hassriq Hafize Abdul Halim Hafiz dan wakil Kelab Kebajikan Jabatan Mufti Negeri Perak yang memberikan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan harian.
Menurut Zamri, kejadian itu bagaimanapun patut dijadikan ikhtibar bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) tugas yang lebih selamat kepada pasukan keselamatan.
“Pada masa akan datang perlu fikirkan SOP yang lebih selamat lebih-lebih lagi kepada anggota keselamatan kita yang banyak menyumbang kepada negara,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kunjungan kepada keluarga mangsa, Zamri berkata, ia sebagai tanda peduli dan kebersamaan masyarakat terhadap anggota keselamatan yang ditimpa ujian.
“Kehadiran kami bukan setakat membawa sumbangan tetapi membawa mesej kebersamaan, rasa peduli dan prihatin masyarakat khususnya kepada anggota keselamatan yang banyak berjasa.
“Selain menyampaikan bantuan, kita mahu menguatkan semangat mereka dan mohon kepada Allah untuk menyembuhkan yang sakit manakala yang meninggal dunia dipelihara oleh Allah,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi 13 Mei lalu, kenderaan membawa 18 anggota FRU Unit 5 Sungai Senam dirempuh lori muatan batu yang didakwa mengalami kegagalan fungsi stereng.
Kemalangan itu mengakibatkan lapan anggota FRU maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Teluk Intan.
Kemalangan itu berlaku ketika trak dinaiki kesemua mangsa bersama enam kenderaan FRU dalam konvoi perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak. – UTUSAN