Jaga adab ziarah kubur

Jaga adab ziarah kubur

MOHAMAD SHUKRI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMALAN menziarahi kubur dalam Islam adalah sunat yang sangat dituntut. Natijahnya, agar umat Islam ingat tentang kematian dan kehidupan akhirat.

Namun, apabila kunjungan ke tanah perkuburan dicemari unsur khurafat dan kepercayaan bahawa kubur mempunyai kuasa ghaib atau keramat, ia boleh membawa kepada perbuatan syirik yang amat ditegah dalam Islam.
Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, menegaskan bahawa amalan seperti mengambil tanah kubur, mengusap batu nisan dengan kepercayaan ia boleh membawa tuah, menyembuhkan penyakit atau mendatangkan keberkatan adalah menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.

DATUK MOHAMAD SHUKRI MOHAMAD
Usia: 80 tahun
Asal: Kota Bharu, Kelantan
Jawatan: Mufti Kelantan

“Jauhi unsur khurafat dengan tanggapan kubur itu keramat dan bertindak dengan ‘nilai tambah’ yang boleh membawa kepada syirik dan berdosa besar.

“Hukum menziarahi kubur adalah sunat muakkad bagi mengingatkan manusia akan kematian serta sebagai cara mendoakan keampunan buat ahli kubur, bukannya untuk menjadikan kubur sebagai tempat mencari keberkatan atau menunaikan hajat,” katanya.

Mohamad Shukri berkata, amalan ziarah kubur yang dilakukan dengan adab dan tertib merupakan bentuk ibadah yang membawa keinsafan serta meningkatkan keimanan.

“Dalam mengejar pahala sunat kita (sesetengah orang) mendapat dosa besar kerana perbuatan yang dilarang,” katanya.

Beliau berkata, antara adab yang disyariatkan ketika menziarahi kubur adalah berwuduk dan menjaga kebersihan selain memberi salam kepada penghuni kubur.

Tambahnya, doakan ahli kubur dan membaca surah pendek seperti Al-Fatihah, Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas serta menghadiahkan pahala bacaan kepada si mati.

“Jangan duduk atau melangkah di atas kubur. Mengelakkan perbuatan bidaah seperti tangisan melampau atau berbicara dengan suara tinggi,” katanya.
Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda:“Dulu aku pernah melarang kamu menziarahi kubur, sekarang ziarahlah kerana ia mengingatkan kamu kepada akhirat.” (Hadis Riwayat Muslim)

Mohamad Shukri berkata, perilaku taasub yang melanggar syariat sebagaimana laporan terdapat segelintir pengunjung yang mengambil tanah serta mengusap pusara Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman di Tanah Perkuburan Islam Gong Pasir, Kerandang, Besut, Terengganu baru-baru ini perlu dihindar.

Kejadian itu, berlaku selepas timbul dakwaan kononnya tanah kubur berkenaan mengeluarkan bau wangi.

Beliau berkata, masyarakat tidak boleh menjadikan perkara-perkara luar biasa sebagai asas untuk mempercayai sesuatu kubur itu ‘keramat’ atau mempunyai keistimewaan tertentu.

“Ziarahlah dengan tertib. Sedekahkan Al-Fatihah dan yakinlah bahawa kematian itu pasti. Ambillah iktibar untuk menambah keimanan dan ketakwaan.

“Islam melarang segala bentuk pemujaan atau pengagungan kepada kubur, sebagaimana ditegaskan dalam firman Allah – Surah Al-Jin, ayat 18.

“Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah, maka janganlah kamu menyembah seseorang pun di dalamnya selain Allah,” katanya.

Katanya, antara asas kepercayaan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah tidak menjadikan tempat kubur sebagai perantaraan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Sebarang bentuk permohonan hajat mestilah dipohon terus kepada-Nya, bukan melalui kubur atau jasad manusia yang mati.

Kesimpulannya, kata beliau umat Islam diingatkan agar sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam yang tulen, berdasarkan al-Quran dan hadis, serta menghindari sebarang unsur khurafat dan bidaah yang boleh menjejaskan akidah.

“Amalan ziarah kubur yang dilakukan dengan penuh kesedaran dan keinsafan mampu memberi impak rohani yang besar, namun jika dicemari dengan kepercayaan karut dan khurafat, ia bukan sahaja menjadi sia-sia malah boleh mengundang kemurkaan Allah SWT,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×