Nahas trak FRU: Anak bongsu Syed Isfan rindu, cari papa

Nahas trak FRU: Anak bongsu Syed Isfan rindu, cari papa

GAMBAR keluarga Syed Isfan Syed Mohamad, yang parah dalam nahas membabitkan kenderaan pasukan FRU dan sebuah lori muatan batu di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam, Teluk Intan kelmarin. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Anak bongsu Koperal Syed Isfan Syed Mohamad, 32, yang parah dalam kemalangan membabitkan kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan lori muatan batu di Teluk Intan kelmarin, mula merindukan bapanya.

Isteri Syed Isfan, Rasidah Suhada Zulkifli, 32, berkata, ketiadaan suaminya itu membuatkan anak perempuan mereka yang berusia dua tahun tercari-cari lelaki itu.

“Bila nampak kereta datang, dia akan sebut ‘papa, papa, papa.’ Dia masih kecil dan belum faham sepenuhnya, tapi apa yang boleh dilihat dia sangat rindu pada papanya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Rasidah, selain Sharifah Aylaa, kejadian menimpa suaminya itu turut memberi kesan kepada dua lagi anak mereka iaitu Syed Habib Rahman, 7, dan Sharifah Afeeya, 5.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua kanak-kanak itu telah faham situasi yang berlaku tambahan lagi melihat berita kejadian tersebut di televisyen.

“Untuk beritahu apa yang terjadi bukan mudah, saya tidak sampai hati untuk jelaskan keadaan sebenar yang kritikal. Saya cuma cakap papa mereka cedera sedikit dan doktor sedang jaga. Bila papa pulang nanti, kita jaga sama-sama.

“Untuk naikkan semangat mereka, saya tunjuk gambar suami. Alhamdulillah, mereka faham dan tidak banyak karenah apabila ditinggalkan dengan keluarga lain ketika saya berulang-alik ke hospital,” katanya.

Sementara itu, menceritakan keadaan Syed Isfan, Rasidah berkata, suaminya kini dalam keadaan stabil namun masih belum sedar lagi setelah menjalani pembedahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Katanya, bapa kepada tiga anak itu mengalami kecederaan dalaman yang serius selain kebocoran pundi kencing, jangkitan bakteria, patah tulang pinggul dan rusuk.

“Alhamdulillah, keadaannya menunjukkan tanda-tanda positif. Semuanya stabil, tetapi kini dia demam, mungkin akibat pembedahan.

“Doktor beritahu dia perlu menjalani dua lagi pembedahan. Buat masa sekarang, mereka biarkan dia berehat dan mungkin akan sedar tidak lama lagi,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 8.54 pagi di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam, Teluk Intan kelmarin, sebuah kenderaan membawa 19 anggota FRU Unit 5 Sungai Senam, Ipoh dirempuh lori muatan batu yang didakwa mengalami kegagalan fungsi stereng.

Pelanggaran secara berdepan itu menyebabkan lapan anggota FRU meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi rakan mereka menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Hospital Teluk Intan.

Kemalangan tragis itu berlaku ketika trak dinaiki kesemua mangsa bersama enam kenderaan FRU dalam konvoi perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN