PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu pemilik lori muatan batu yang mengakibatkan kemalangan maut sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, dekat Teluk Intan di Perak perlu dikenakan tindakan tegas.
Beliau berkata, selain pemandu lori yang terbabit nahas itu, pemilik syarikat lori berkenaan perlu juga dipertanggungjawabkan.
“Nahas ini tidak harus berlaku sekiranya kenderaan berat itu melalui pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
“Laporan awal memperlihatkan terdapat satu masalah teknikal pada kenderaan yang membawa muatan pasir itu, menyebabkan ia hilang kawalan akibat stereng yang tak berfungsi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) Bilangan 1 Tahun 2025 di Putra Perdana, di sini hari ini.
Katanya, selain pemeriksaan PUSPAKOM, beliau turut mengarahkan pemeriksaan kesihatan dilakukan terhadap pemandu lori yang berisiko mengakibatkan kehilangan nyawa di jalan raya.
Ahmad Zahid berkata, ujian air kencing dan alkohol perlu ditekankan kepada mana-mana pemandu kenderaan yang boleh mengakibatkan kesan buruk sekiranya kemalangan berlaku seperti yang terjadi di Teluk Intan, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyuarakan kebimbangan terhadap tahap keselamatan kenderaan berat di negara ini.
Polis hari ini mengesahkan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) meninggal dunia dalam nahas di KM15, Jalan Sungai Manik–Sungai Lampam itu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin dilaporkan berkata, seorang anggota meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan, manakala lapan lagi maut serta merta di lokasi kejadian. – UTUSAN