PUTRAJAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini melancarkan portal Malaysia Market Data Hub (MyLabourHub) iaitu inisiatif strategik yang berperanan sebagai gerbang utama kepada capaian statistik rasmi pasaran buruh negara.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, sebagai platform komprehensif yang mengintegrasikan institusi, data dan teknologi, MyLabourhub dijangka memanfaatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk penggubal dasar, pemain industri, institusi latihan dan rakyat.
Beliau berkata, MyLabourHub turut berperanan sebagai platform analitik yang membolehkan penelitian mendalam dalam penggubalan dasar berasaskan bukti.
“MyLabourHub dapat memberikan manfaat kepada negara dari segi meningkatkan kecekapan pasaran buruh dan aliran maklumat antara majikan, pencari kerja dan penyedia latihan.
‘Ia juga mengurangkan kos pencarian pekerjaan melalui penyediaan maklumat yang mudah diakses, menyokong transformasi sistem pendidikan berdasarkan kehendak industri sebenar dan memacu pembangunan tenaga kerja mahir dan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan portal MyLabourHub di sini hari ini.
Antara fungsi utama MyLabourHub adalah sebagai platform analitik pasaran buruh yang menyeluruh meliputi lebih 60 indikator utama pasaran buruh serta integrasi dengan data pentadbiran 40 kementerian dan agensi berkaitan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
Selain itu, ia berfungsi sebagai pembangun dasar pasaran buruh negara yang berperanan penting dalam memperkukuh pembangunan bakat masa hadapan dan menjajarkan semula pasaran buruh ke arah pertumbuhan yang inklusif dan mampan.
Mohd. Uzir berharap, semua pihak berkepentingan sama ada daripada sektor awam, swasta mahu pun ahli akademik untuk memanfaatkan sepenuhnya MyLabourHub sebagai sumber rujukan utama dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan berkaitan tenaga kerja negara. – UTUSAN