PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan dakwaan kononnya projek MyKiosk@KPKT adalah projek ‘gajah putih’.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, dakwaan itu tidak benar dan kebanyakan kiosk berkenaan telah pun diisi malah, hanya sebahagian kecil yang masih belum beroperasi.
“Arahan telah pun dikeluarkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan agar kesemua 7,000 kiosk di seluruh negara diisi sepenuhnya,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Kecemerlangan KPKT 2024, di sini hari ini.
Katanya, projek itu dijalankan berdasarkan permohonan menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) dimana ia mengutamakan penjaja kecil, khususnya yang berniaga secara tidak sah di tepi jalan.
Kor Ming berkata, dengan adanya MyKiosk, pihaknya ‘menghalalkan’ perniagaan penjaja itu dengan sewaan percuma selama enam bulan pertama dan kadar sewa maksimum RM10 sehari.
Kor Ming berkata, kiosk itu mendapat sambutan ramai penjaja malah, ada yang memperoleh pendapatan lumayan.
“Kita ada penjaja di Melaka yang untung lebih RM30,000 dan ia lebih tinggi daripada gaji menteri,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa projek MyKiosk sebagai projek ‘gajah putih’ selain dianggap membazir dan tidak praktikal.
Projek MyKiosk KPKT adalah inisiatif oleh KPKT untuk membantu golongan B40 dan peniaga mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) dengan menyediakan ruang niaga yang seragam, selamat, dan selesa demi eningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi penduduk setempat.
Sehingga Disember 2024, sebanyak 7,243 unit MyKiosk telah diluluskan di 133 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara, membantu lebih 7,000 keluarga meningkatkan pendapatan mereka. – UTUSAN