PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersedia memberi kerjasama kepada mana-mana pihak bagi menyiasat projek MyKiosk termasuklah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ini susulan gesaan beberapa pihak yang mahu pihak berkuasa termasuk SPRM campur tangan dan menyiasat projek MyKiosk dengan mendakwa, harga binaan bagi setiap unit mencecah RM25,000 adalah mahal.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, harga RM25,000 seunit yang dikenakan bagi setiap gerai MyKiosk adalah harga siling ditetapkan KPKT kepada kontraktor terlibat.
Katanya, justeru kontraktor perlu menawarkan harga lebih rendah daripada nilai ditetapkan pihaknya.
“Saya jemput Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM) untuk datang ke pejabat minum teh,” katanya dalam nada berseloroh pada sidang akhbar selepas Majlis Pra Pelancaran Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) dan Anugerah Kecemerlangan Media (AKeMedia) 2025 di sini, semalam.
Mengulas dakwaan kos gerai MyKiosk 2.0 adalah lebih tinggi berbanding gerai MyKiosk 1.0, Kor Ming berkata, hal itu adalah wajar kerana gerai MyKiosk 2.0 telah ditambah baik.
“Kiosk 2.0 dilengkapi dengan kemudahan solar panel dan bateri yang lebih tahan lama, lampu LED, pencahayaan sekitar LED, papan tanda LED, bateri mudah alih, rak mudah laras, kipas, tingkap hidraulik dan penebat haba bumbung,” katanya.
Dalam pada itu, Kor Ming turut menafikan dakwaan bahawa KPKT sendiri yang melantik 795 kontraktor terlibat sedangkan mereka dilantik oleh 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.
“Kami hanya menyediakan peruntukan dan setiap PBT akan menguruskan aspek lain seperti pemilihan kontraktor, lokasi dan peniaga,” katanya.
Katanya, statistik terkini menunjukkan jumlah pengisian MyKiosk 1.0 adalah 87.74 peratus atau 2,798 unit telah disewa manakala bagi MyKiosk 2.0 pula pengisian peniaga adalah 65.44 peratus atau 2,653 unit telah disewa – UTUSAN