PETALING JAYA: MTC OREC Sdn. Bhd. (MTCO) syarikat kejuruteraan bio-tenaga terkemuka memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan IHI Plant Services Corporation (IPC), anak syarikat kepada kumpulan IHI dari Jepun bagi membangunkan industri biometana di Malaysia.
MoU yang ditandatangan sempena Ekpo 2025 di Osaka, Kansai, Jepun itu melambangkan komitmen bersama untuk memacu penyelesaian tenaga mampan merentasi sempadan.
Melalui kerjasama tersebut, kedua-dua pihak akan membangunkan sistem pencerna pelbagai yang menggabungkan teknologi Anaerobic Lagoon dan reaktor IC proprietari milik IPC.
Ketua Pegawai Eksekutif MTCO, Dr. Zahari Mohamad berkata, kerjasama itu menandakan langkah penting dalam pembangunan biometana di Malaysia.
“Kami amat menghargai kepercayaan dan komitmen bersama semua rakan dan pihak berkepentingan dalam menjayakan visi ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bioeconomy Corporation atas sokongan berterusan mereka terhadap teknologi dan kepakaran MTCO.
Presiden IPC, Aoki berkata, teknologi kedua-dua pihak adalah serasi dan penyepaduan ini mampu menyelesaikan isu alam sekitar sambil menghasilkan produk bernilai tinggi.
“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat meningkatkan kemampanan industri sawit di Asia Tenggara. Sistem canggih ini direka untuk mengoptimumkan pemulihan biogas daripada efluen kilang minyak sawit (POME).
“Biogas yang ditangkap akan ditapis menjadi biometana, bahan api bersih bernilai tinggi yang setanding dengan gas asli saluran paip, tetapi dengan intensiti karbon lebih 90 peratus lebih rendah,” katanya.
Inisiatif tersebut bukan sahaja membantu kilang sawit mematuhi peraturan alam sekitar dengan lebih berkesan, malah turut mengurangkan pelepasan gas metana, gas rumah hijau yang kuat melalui penukaran kepada bahan api boleh diperbaharui.
Biometana juga membuka peluang untuk aplikasi hiliran bernilai tinggi termasuk pengeluaran biometana cecair, bio-amonia dan bio-metanol bahan api penting dalam sektor maritim dan penerbangan.
Kerjasama strategik ini meneguhkan lagi peranan MTCO sebagai peneraju perubahan dalam landskap tenaga boleh diperbaharui di rantau ini menawarkan penyelesaian menyeluruh untuk cabaran iklim masa kini dan peluang tenaga masa depan. – UTUSAN