BANGI: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memainkan peranan yang amat signifikan dalam memajukan industri sawit negara, sekali gus memastikan kelestariannya sehingga mencapai status antara sektor ekonomi utama.
Sepanjang 25 tahun penubuhannya, MPOB sebagai agensi utama di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah berperanan melalui pembangunan teknologi dan inovasi serta kawal selia bagi kemajuan industri sawit yang dinamik, teratur dan mampan.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir berkata, secara keseluruhannya, prestasi industri sawit Malaysia menunjukkan prestasi yang membanggakan.
Katanya, eksport minyak sawit dan produk keluaran sawit mencatat peningkatan tujuh kali ganda kepada RM109.39 bilion pada 2024 berbanding hanya RM14.94 bilion pada 2000.
“Malaysia kekal sebagai salah satu pengeluar dan pengeksport utama minyak sawit dunia, menyumbang secara signifikan kepada KDNK negara, menyedia peluang pekerjaan serta imbangan dagangan.
“Sumbangan sektor sawit kepada KDNK secara tahunan adalah sekitar tiga hingga lima peratus setahun, pada tahun 2024 dan menyumbang sebanyak RM49.03 bilion atau hampir 3 peratus kepada KDNK negara.
“Dalam tempoh itu, keluasan tanaman sawit Malaysia meningkat sebanyak 66.2 peratus kepada 5.61 juta hektar manakala pengeluaran minyak sawit mentah meningkat 78.4 peratus kepada 19.34 juta tan pada tahun 2024.
“Kadar perahan minyak turut mencatatkan peningkatan sebanyak 4.3 peratus sehingga mencapai paras 19.67 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Ahmad Parveez, MPOB bersama KPK dan pemain industri telah membangunkan teknologi bernilai tambah, produk hiliran serta memperluas pasaran antarabangsa melalui kerjasama strategik dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bagi meroka pasaran baharu.
“MPOB terlibat secara langsung dalam membantu pekebun kecil sawit persendirian yang berjumlah 219,568 orang dengan keluasan kebun sebanyak 829,929 hektar tanaman bagi peningkatan produktiviti hasil sawit dan pendapatan,” katanya.
Selain itu katanya, MPOB memainkan peranan penting dalam menyedia khidmat nasihat penanaman sawit dan menyalurkan bantuan yang disediakan oleh kerajaan bagi memperkasakan sektor pekebun kecil sawit melalui penubuhan 49 buah pejabat Pusat Khidmat Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) di seluruh negara.
“Pejabat TUNAS berfungsi sebagai barisan hadapan dalam penyampaian maklumat, latihan teknikal dan khidmat nasihat berkaitan amalan pertanian baik (GAP), pemilihan bahan tanaman, dan pemindahan teknologi agronomi sawit kepada pekebun kecil dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil sawit secara mampan,” katanya.
Selain itu, Ahmad Parveez berkata, MPOB turut berperanan dalam pengeluaran dan pembaharuan lesen bagi 25 aktiviti industri dalam rantaian industri sawit termasuk pekebun kecil, penguatkuasaan peraturan, pembangunan modal insan melalui penganjuran latihan dan seminar serta menyedia perkhidmatan kepada semua pihak berkepentingan dalam industri sawit.
“Melalui transformasi perkhidmatan bagi kecekapan sistem penyampaian kepada penggiat industri, MPOB telah meningkatkan perkhidmatan atas talian meliputi sistem e-pelesenan bagi meningkatkan ketelusan, kecekapan dan kemampanan industri sawit,” katanya.
“Pelaksanaan Sawit Intelligent Management System (SIMS) yang berpacukan pendigitalan bagi pengurusan transaksi perniagaan di sepanjang rantaian bekalan yang seterusnya diintegrasikan dengan sistem pensijilan mampan (eMSPO), portal GeoSawit dan kebolehjejakan (traceability) industri sawit kebangsaan untuk Malaysia,” katanya.
Dari segi penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan oleh MPOB, Ahmad Parveez berkata, lebih 200 teknologi dan inovasi dalam pelbagai segmen industri sawit telah dikomersialkan oleh penggiat industri tempatan, sekali gus memacu kemajuan sektor tersebut.
Katanya, teknologi dan inovasi MPOB yang telah dikomersialkan mampu menjana nilai pasaran melebihi RM5.9 bilion dan menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti, kualiti, serta kemampanan industri.
“Antaranya teknologi dan inovasi yang dibangunkan oleh MPOB meliputi peralatan mekanisasi untuk aktiviti penuaian buah sawit yang mampu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja serta meningkatkan produktiviti dan keselamatan pekerja ladang. Versi terkini CantazTM Elektro menggunakan kuasa bateri dan lebih mesra alam,” katanya.
Ahmad Parveez berkata, penyelidikan MPOB juga telah menghasilkan bahan tanaman berkualiti seperti Siri Sawit 1.1 (PS1.1) yang menghasilkan pokok lebih rendah dan Siri Klon Sawit 3 (CPS3) yang mampu menghasilkan lebih 30 tan buah tandan segar (BTS) sehektar setahun.
“CPS3 merupakan klon sawit yang dihasilkan, berupaya mencapai pengeluaran hasil minyak sebanyak 8-10 tan/ha/tahun dan berpotensi meningkatkan pendapatan pengusaha tanaman sawit serta jangka hayat ekonomi pokok lebih lama.
“MPOB juga membangunkan teknologi dan formulasi pelbagai produk pemakanan dan kesihatan berasaskan sawit seperti tokotrienol (vitamin E sawit) dan minyak sawit merah serta produk oleokimia bernilai tinggi yang mendapat tempat di pasaran antarabangsa termasuk Amerika Syarikat dan China,” katanya. – UTUSAN