DARIPADA hits Cinta kepada Hening Rindu yang menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL), saya melihat Marsha Milan merencana repertoirenya cukup teratur sehingga membawa kepada terbitan album extended-play (EP), Misompuru – satu karya pop folk Sabah dan Sarawak berkonsepkan keramaian.
Menuju Pesta Kaamatan 2025 bulan ini, garis masanya cukup cantik kerana pesta menuai padi pasti lebih meriah menerusi karya lima lagu dalam album itu – Nalan Nalan, Lintah Darat, Pelangi Pasti, Santai Saja dan Hey Aramaiti.
Karya finalis Akademi Fantasia 3 (AF3) itu tidak terikat kepada pop dan balada semata-mata. Ketika dia merakam Sumandak Sabah, Oi Gaman dan Aramaitiii berganding dengan Velvet Aduk, dia sudah membawa trend dan budaya Borneo dalam pasaran muzik tempatan yang mengikat pendengaran.
Meskipun masih ramai penyanyi lokal Sabah membawa aliran pop folk atas tujuan mengangkat budaya Borneo di peringkat kebangsaan, namun, Marsha memiliki pengaruh tersendiri.
Di persada muzik arus perdana, dia adalah simbolik penyatuan dan persilangan budaya Borneo Utara dan Tanah Melayu. Stacy pun belum mampu mencapai tahap itu kerana tumpuannya sejak dahulu menggerakkan lagu berentak pop, elektropop dan pop tarian.
Atas sebab itulah, mengapa Misompuru bukti kewujudan dan ketahanan lagu-lagu rakyat dalam arus pop moden yang terus menderas industri muzik.
Lintah Darat, teraju dan single pertama album ini membawa satu persembahan bersahaja dengan lirik mudah difahami. Pastinya, bahagian korus kedengaran lebih catchy, walaupun saya seperti mendengar Zizi Kirana lagunya, Eh, di bahagian korus: “Sakit hati semua nak luah”.
Marsha membuka persembahannya dengan lagu bahasa Kelabit dari Sarawak, Nalan Nalan (duet bersama Alena Murang). Berawal melodinya berupa konsep etnik fusion moden kemudian disusuli instrumen tradisional Sape dalam tempo cepat, menjadikan lagu ini sebagai karya bersifat muzikal dan menghiburkan.
Marsha kedengaran lebih tenang menerusi Pelangi Pasti. Ia menyuntik rasa spiritual dan refleksi tanpa memerlukan gerak-geri yang banyak. Begitu juga Santai Saja, satu persembahan seperti Tahun Melawat Malaysia yang lebih riang, ceria dan tidak banyak beza dengan lagu promosi Sabah seperti Hanya Di Sabah (Dabrah Sia) dan Sabah Ginawoku (Masmona).
Marsha menutup persembahannya dengan memberi penghormatan kepada masyarakat Kadazan, Dusun, Murut, dan Rungus (KDMR) menerusi merakam semula lagu Kadazandusun nyanyian asal Datuk Francis Landong, Hey Aramaiti, yang menggambarkan suasana kegembiraan dan semangat perayaan dalam budaya tempatan.
Penyanyi Untuk Terakhir Kali itu mengekalkan keaslian melodi, gubahan dan bahasa tanpa menyuntik elemen baharu. Jadi, ia lebih bersifat setempat dan pendengarnya juga hanyalah kepada sasaran tertentu.
Isunya apa? Misompuru hadir sebagai produk unik di tengah tengah trend penerbitan banyak lagu bergenre pop dan R&B membanjiri pasaran.
Sebagai anak jati Sabah, kredit harus diberi kepada Marsha kerana dia sedar akan tanggungjawab sosialnya dalam memelihara warisan, budaya dan identiti masyarakat Borneo ke persada kebangsaan, sekali gus merai semangat kebersamaan, kemakmuran dan kegembiraan sesama rakyat Malaysia.
Memang benar, ramai artis tempatan Sabah lebih awal menggerakkan aliran dan promosi budaya tempatan. Namun, pengaruh itu belum cukup membentuk trend seluruh rakyat Malaysia benar-benar mendalami budaya etnik lain dalam satu jaluran seni dan muzik.
Marsha pula, ada kelebihan itu kerana dia sudah ada personal brand yang dibina 20 tahun lalu, ada pengikut tersendiri dan punyai sokongan label muzik yang established dalam mengedar dan memasarkan lagu lagunya.
Seperti mana dia menerbitkan Sumandak Sabah, maka, besarlah harapan kelima-lima lagu Misompuru membawa satu anjakan dalam diskografinya membawa budaya Borneo ke hadapan.
Marsha hanya perlu menggiatkan kerja-kerja promosi. Kita semua pasti mahu Misompuru bukan satu produk bermusim untuk Pesta Kaamatan, Hari Kebangsaan atau Hari Malaysia sahaja.
Sebaliknya, naskhah yang akan terus dikenali dan didengari sampai bila-bila, terutama Nalan Nalan – lagu bahasa Kelabit yang berdepan kepupusan warisan. Tidak akanlah Marsha terus menghasilkan lagu – cipta, tulis, nyanyi, rakam dan lancar namun tidak memberi impak dan begitulah kitaran selama lamanya.
Untuk terus menghidupkan semangat warisan dan budaya, Marsha tidak semestinya bergerak seorang diri. Dia masih ada ruang dan peluang bekerjasama dengan penyanyi nasional lain dalam mempromosi budaya Borneo ke ‘dunia luar’.