Misi kayuhan #JourneyToTanahHaram Amar Baharin, Qobin dijangka berakhir di Madinah - Utusan Malaysia

Misi kayuhan #JourneyToTanahHaram Amar Baharin, Qobin dijangka berakhir di Madinah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon jelita, Amyra Rosli memaklumkan suaminya, Amar Baharin dan Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin dijangka akhiri kembara berbasikal ke Makkah di Madinah.

Amyra berkata, misi kayuhan di bawah program #JourneyToTanahHaram itu dijangka berakhir di Madinah berikutan jemaah Haji sudah mula berada di Makkah.

“Mereka dijangka akhiri kayuhan ini di Madinah sahaja sebab sekarang ini musim Haji, jadi tidak boleh masuk. Perancangan asal memang mahu ke Makkah. Tetapi saya tidak boleh cakap banyak. Mereka pun apabila saya tanya, akan jawab Insya-Allah,” katanya.

Difahamkan, aktor tersebut dan rakannya kini sedang berehat dan berada di lokasi kira-kira 400 kilometer (km) dari Madinah setelah berjaya memasuki wilayah Al Qasim di Arab Saudi, kelmarin.

Menurut Amyra, misi kayuhan mereka buat masa kini tidak diteruskan setiap hari kerana perlu berehat untuk tempoh tertentu berikutan cuaca panas yang mencecah sehingga 51 darjah selsius.

“Perjalanan mereka bukanlah senang untuk dapat hotel atau makanan. Mereka berehat antara sehari hingga dua hari selepas kayuhan dalam jarak tertentu, kemudian sambung semula.

“Mereka tidak terlalu tergesa-gesa sebab Makkah atau Madinah sekarang, sudah terlalu ramai orang. Jadi, mereka hanya kayuh secara perlahan dan santai sahaja,” katanya.

Amyra turut meluahkan rasa lega apabila misi kayuhan suaminya bersama rakannya dipermudahkan kerana sering mendapat bantuan berupa makanan dan tempat tinggal daripada penduduk setempat.

“Amar beritahu dia sudah mula terbiasa dengan cuaca panas di sana. Apa yang buat saya seronok dengar apabila mereka dikelilingi orang baik hati untuk hulurkan bantuan seperti beri makan dan minum.

“Selain itu, ada juga orang beri mereka menginap di hotel secara percuma termasuk tumpangkan rumah. Momen sebegitu buatkan saya fikir dahsyat juga pengembaraan mereka ini.

“Orang di sana juga sangat mengalu-alukan mereka. Dari segi cabaran, mungkin cuaca panas sahaja, tapi semangat mereka berdua sangat cekal untuk selesaikan misi ini,” jelasnya.

Sementara itu, pelakon drama bersiri Sekam Di Dada itu mengakui dirinya melalui fasa mencabar tatkala berjauhan dengan suami tercinta namun tetap berasa lega kerana aktor tersebut tidak pernah gagal berkongsi perkembangannya setiap hari.

“Misi ini sudah berlangsung kalau tidak silap sudah sebulan lebih. Apabila berjauhan ini, saya tidak murung atau bersedih seperti apa yang saya fikir sebelum ini.

“Alhamdulillah, dia maklumkan perkembangan dia kepada setiap hari kerana itu perkara paling penting bagi saya.

“Saya pun tengok dia seronok dan lega apabila dia boleh biasakan diri dengan cuaca panas di sana. Mereka sangat hebat apabila mereka tidak mengalah saya nampak,” katanya.

Dalam pada itu, Amyra turut memaklumkan Amar dan Qobin akan pulang ke Malaysia dengan menaiki kapal terbang.

Amar dan Qobin yang juga pendaki pertama Gunung Everest dari Malaysia, memulakan kayuhan dari Perlis lalu merentas ke beberapa negara lain seperti Thailand dan Iran, sebelum tiba di Arab Saudi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN