KULAI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menurunkan sebanyak 63,652 hantaran berkaitan scammer di media sosial sepanjang tahun 2024.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 10 kali ganda berbanding 6,297 hantaran yang diturunkan pada 2023.
Menurut beliau, trend peningkatan jumlah hantaran melibatkan kes penipuan adalah satu perkara yang membimbangkan.
“Pada tahun ini, sejak Januari hingga April sebanyak 32,436 hantaran telah diturunkan. Hanya dalam tempoh empat bulan kita telah menyamai separuh angka yang direkodkan sepanjang tahun lalu.
“Ini sangat membimbangkan, jumlah kerugian yang dicatatkan dalam tempoh empat bulan itu adalah RM799 juta. Majoriti melibatkan pelaburan palsu,” katanya selepas merasmikan Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (Nanba) di Dewan Serbaguna Taman Mewah, di sini hari ini.
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai turut memberitahu, MCMC komited dan akan terus bekerja keras memastikan aktiviti penipuan atas talian dapat diatasi sebaik mungkin.
“Antara cabaran dihadapi adalah apabila kita turunkan hantaran scammer minggu ini, minggu depan ada hantaran baharu. Memang itu kita hadapi, jadi jangan kata MCMC tidak buat kerja.
“Pada masa sama, kita juga merancang untuk mengadakan siri jelajah di sekolah rendah, menengah dan juga pengajian tinggi untuk meningkatkan kesedaran masalah tentang jenayah scammer,” ujarnya. – UTUSAN