BALI: Pelakon tersohor Indonesia, Luna Maya mendedahkan sebelum ini pernah berasa akur dengan ketentuan takdir sekiranya dia tidak bertemu jodoh.
Menurut Luna, dia juga pernah putus asa mengenai rumah tangga.
“Momen ini sangat sentimental buat saya. Dua tahun lalu saya sudah tanamkan dalam fikiran bahawa perkahwinan itu tidak akan berlaku dalam hidup saya.
“Mungkin bukan semua orang akan mempunyai pasangan dalam hidup. Saya ikhlas dan menyerah.
“Saya terima sahaja dengan apa yang sudah ditetapkan dan saya okey saja,” katanya dalam majlis resepsi, baru-baru ini.
Namun, aktres tersebut bersyukur dengan kehadiran suaminya, Maxime Bouttier yang dianggapnya sebagai rahsia Tuhan paling bermakna dalam kehidupannya.
“Kemudian, hadirnya awak (Maxime) dalam hidup saya memberikan erti kehidupan yang berbeza.
“Terima kasih kerana bertahan. Saya ingin berterima kasih kepada awak kerana memberi kehidupan terbaik untuk saya.
“Saya harap, awak berikan masa yang terbaik dan harungi bahtera ini bersama di masa akan datang,” kongsinya.
Pada 7 Mei lalu, Luna sah bergelar isteri kepada pelakon aktor Maxime dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis tertutup mengikut adat Jawa di Bali, Indonesia.
Majlis yang bertemakan dalam taman itu turut menyaksikan Luna menerima 7.5 gram emas serta wang tunai dibayar dalam mata wang USD sebagai mas kahwin.